Pelabur Asia tunggu dasar baru Fed

Pelabur Asia tunggu dasar baru Fed

HONG KONG, 16 Mac (AFP) – Pelabur Asia berniaga dengan waswas hari ini sebelum mesyuarat dasar terbaru Rizab Persekutuan, berharap bank pusat AS akan memberikan panduan mengenai rancangannya untuk kadar faedah pada tahun ini.

Minyak mentah juga berpulih selepas penjualan dua hari walaupun timbulnya kebimbangan yang meningkat mengenai rundingan di antara pengeluar utama tentang kemungkinan pembekuan pengeluaran bertujuan mengatasi kemelesetan bekalan global.

Dengan beberapa perangsang untuk menjana perniagaan, pelabur bersikap waswas sebelum berakhirnya mesyuarat Persekutuan dan satu kenyataan daripada ketuanya, Janet Yellen.

Sementara tidak ada langkah baru dijangka diambil daripada mesyuarat, komen Yellen akan dikaji untuk mencari petunjuk kepada pemikiran penggubal dasar selepas kenaikan kadar faedah pertama pada Disember dalam hampir satu dekad.

Janet Yellen ketika menyampaikan kenyataan di House Financial Service Committee di Washington pada gambar fail 10 Februari 2016. – Reuters
Janet Yellen ketika menyampaikan kenyataan di House Financial Service Committee di Washington pada gambar fail 10 Februari 2016. – Reuters

Kenaikan tersebut disusuli oleh keadaan turun naik dua bulan di seluruh pasaran global yang menghapus trilion penilaian.

“Kami menunggu dasar mata wang AS, maka adalah sukar untuk pelabur bergegas masuk dan beli,” beritahu Chihiro Ohta, pengurus besar maklumat pelaburan di SMBC Nikko Securities kepada Bloomberg News.

“Kami perlu melihat sama ada kami mempunyai satu atau dua kenaikan kadar pada tahun ini, dan sama ada kenaikan seterusnya akan diadakan pada Jun.”