Pelabur Itali terus yakin dengan Malaysia

Pelabur Itali terus yakin dengan Malaysia

MILAN, 4 Okt (Bernama) – Pelabur Itali terus yakin dengan Malaysia seperti yang dibuktikan menerusi keputusan mereka untuk terus mengembangkan dan mempelbagaikan operasi sedia ada mereka di dalam negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata meskipun perdagangan dua hala meningkat dengan ketara dan pelaburan Itali juga berkembang pesat dalam tempoh yang singkat, beliau berharap Rome dan Kuala Lumpur akan terus bekerja sama bagi meraih manfaat bersama.

Beliau berkata banyak yang boleh ditawarkan Malaysia kepada pelabur dan perniagaan Itali berdasarkan kepada asas negara yang kukuh dan ditambah dengan unjuran pertumbuhan ekonomi stabil meskipun persekitaran global yang mencabar.

“Pelabur Itali mempunyai operasi kukuh di Malaysia. Kami berbangga memiliki syarikat terkemuka Itali seperti Versalisn, AugustaWestland, Alfa Gomma, Galperti Group, Nicotra Fans ans Blowers dan Marelli Motori beroperasi di Malaysia” katanya.

Najib berkata demikian semasa mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Itali bersempena dengan Expo Milano 2015, di sini, Sabtu.

Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu peserta mesyuarat meja bulat dengan pemain utama industri tempatan sempena Ekspo Milan 2015 hari ini. Turut kelihatan ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu peserta mesyuarat meja bulat dengan pemain utama industri tempatan sempena Ekspo Milan 2015 hari ini. Turut kelihatan ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad. – Bernama

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Presiden Italian Malaysian Friendship Association Ambassador Anacleto Felicani dan Pengerusi Jawatankuasa Malaysia dan Brunei Dewan Perniagaan Swiss Asia, Patrick H Kriesemar.

Antara wakil syarikat yang menghadiri mesyuarat itu ialah daripada Excel Rim Co Ltd yang terlibat dalam kejuruteraan, Marelli Motori SpA, pengeluar motor elektrik, Unigra yang terlibat dalam pemprosesan minyak dan lemak makanan, marjerin dan produk separa siap dan Sordi Impianti yang terlibat dalam mesin dan kilang bagi industri makanan.

Najib berkata dalam tempoh 10 tahun lepas perkongsian Malaysia dan Itali berkembang pesat dengan pelaburan dalam sektor pembuatan meningkat daripada US$9.5 juta pada 2010 kepada AS$303 juta tahun lepas.

“Pada Disember 2014, Malaysia secara kumulatif meluluskan sejumlah 115 projek pembuatan dengan pembabitan syarikat Itali.

“Pelaburan-pelaburan ini bernilai AS$654.3 juta dan telah mewujudkan 10,378 peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, keseluruhan jumlah perdagangan Malaysia dengan Itali pada 2014 sahaja berjumlah AS$2.69 bilion, katanya.

Beliau berkata meskipun persekitaran global yang mencabar, asas ekonomi Malaysia masih kukuh ditambah dengan kestabilan politik.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran surat setuju terima bagi pajakan tanah seluas 8.4 hektar di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat antara Perbadanan Johor dan syarikat Itali, Unigra.

Perbadanan Johor diwakili Exco kerajaan negeri, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Mohammad Jais Sarday, manakala Unigra diwakili Pengarah Kewangan Kumpulan, Luca Mini.

ARTIKEL YANG SAMA