Pelabur Korea dipelawa melabur di Lembah Chuping

Pelabur Korea dipelawa melabur di Lembah Chuping

DAEJON, KOREA SELATAN, 4 Dis (Bernama) – Pelabur Korea dipelawa untuk melabur di Lembah Chuping, satu kawasan pembangunan khusus untuk industri hijau dan mesra alam yang dijangka bermula menjelang akhir 2017.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika membuat pelawaan itu bertitah, sekarang adalah masa yang sesuai untuk syarikat Korea merebut peluang tersebut.

“Selain harga tanah industri menarik antara RM12 hingga RM15 sekaki persegi, banyak insentif lain ditawarkan kepada pelabur seperti tempoh pajakan selama 60 tahun, kestabilan politik, risiko bencana alam dan kos sara hidup rendah serta kebenaran pemilikan 100 peratus ekuiti asing dalam sektor korporat.

“Saya dapati Lembah Chuping sesuai untuk pelabur Korea yang banyak terlibat dalam industri hijau dan mesra alam berteknologi tinggi,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah demikian selepas majlis menandatangani surat hasrat (LoI) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Hanbat National University, Manufacturing Innovation Development Corporation (MIDC) serta syarikat penyelidikan teknologi hijau, High-Tech Solutions di sini, Khamis malam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bertanyakan sesuatu mengenai imej satelit kepada Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi SATREC Initiative Byungjin Kim (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan ke syarikat tersebut di Technopark Daejon kelmarin. Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Emeritus Datuk Kamarudin Hussin (dua, kanan). – Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bertanyakan sesuatu mengenai imej satelit kepada Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi SATREC Initiative Byungjin Kim (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan ke syarikat tersebut di Technopark Daejon kelmarin. Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Emeritus Datuk Kamarudin Hussin (dua, kanan). – Bernama

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Kamarudin Hussin mewakili UniMAP manakala High Tech Solutions oleh Pengurus Besarnya, Jongpil Kang, sementara Hanbat University oleh Pengarah MIDCnya, Tae Sik Myung.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Canselor UniMAP berada di sini sempena program lawatan kerja ke Korea Selatan untuk menjalin kerjasama dengan universiti dan syarikat di negara ini.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin, baginda menerima banyak maklum balas daripada pihak-pihak yang berminat melabur di Perlis namun tidak mendapat banyak maklumat.

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk membawa syarikat-syarikat ini melawat Perlis berikutan kerajaan pusat telahpun meluluskan peruntukan bagi membangunkan infrastruktur dan akan mula dilaksanakan tahun depan,” tambah baginda.

Baginda bertitah, dari segi logistik, Lembah Chuping strategik kerana disokong oleh Perlis Inland Port (PIP) atau pelabuhan darat yang dibangunkan dalam masa yang sama dan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) menghubungkan Perlis dengan pelabuhan Pulau Pinang serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

“Perlis juga berada dalam Wilayah pembangunan segi tiga (IMT-GT) antara Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand membabitkan keluasan lebih 569,000 kilometer persegi dan penduduk berjumlah 67.7 juta orang.

“Kedudukan ini paling strategik kerana turut menghubungkan negara-negara ASEAN seperti Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Singapura selain Lembah Chuping disokong dengan kewujudan industri-industri sokongan,” jelas baginda lagi.

ARTIKEL YANG SAMA