Pelabur M’sia-China digesa terokai Industri sarung tangan perubatan

Pelabur M’sia-China digesa terokai Industri sarung tangan perubatan

TIANJIN, 11 Ogos – Pelabur Malaysia dan China disaran menjalin usaha sama untuk meneroka potensi besar yang sedia ada bagi sarung tangan perubatan daripada getah di China, memandangkan jumlah penduduk yang ramai dan kurangnya penggunaan sarung tangan berkenaan dalam industri penjagaan kesihatan pada masa ini.

China mengimport 71 peratus atau AS$96 juta nilai sarung tangan perubatan getah dari Malaysia pada 2015 dan permintaannya dijangka meningkat.

“Ini menunjukkan terdapat potensi besar memandangkan penggunaan sarungtangan perubatan per kapita di China hanya tiga pasang setahun manakala purata penggunaan dunia ialah 25 pasang setahun.

“Jika China meningkatkan penggunaan kepada lapan atau 10 pasang sarung tangan setahun, potensi bagi sarung tangan getah Malaysia menembusi negara inisangat besar,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong kepada pemberita di sini malam tadi selepas merasmikan Forum Kesihatan dan Nutrisi MinyakSawit Kelima serta Seminar Mengenai Pengurusan Kawalan Jangkitan: Pemilihan Sarung Tangan Tepat di sini.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi pengeksport sarung tangan perubatan keChina dan sistem penjagaan kesihatan Cina berkeyakinan terhadap kualiti sarung tangan perubatan yang dieksport ke negara itu.

“Ini jelas menunjukkan mengapa kita adalah pengeksport terbesar sarung tangan perubatan getah ke China,” katanya, sambil menambah bahawa lebih 20 pengeluar sarung tangan getah Malaysia, termasuk Top Glove Corporation Bhd, telah mengeksport ke China.

Peranti perubatan daripada getah seperti sarung tangan perubatan, kondom dan kateter foley dihasilkan oleh Malaysia, mematuhi piawaian tempatan dan antarabangsa serta telah dipasarkan di China sejak bertahun-tahun pada harga yang kompetitif.

“Perbelanjaan penjagaan kesihatan China telah mengalami pertumbuhan dua angka sejak 10 tahun lalu dan menyumbang 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Memandangkan corak penggunaan dan penduduk China, ada ruang untukpertumbuhan memberangsangkan dalam pasaran penjagaan kesihatan China dan pengeluar Malaysia perlu menjadi rakan yang aktif dalam pembangunan pasaran di China,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA