Pelabur teknologi dialu-alukan

Pelabur teknologi dialu-alukan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Pelabur teknologi dialu-alukan untuk membawa teknologi dan pengetahuan mereka ke negara ini, sekali gus membangunkan industri ICT di Negara Brunei Darussalam.

Galakan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika ucapan alu-aluan pada Persidangan Brunei Korea ICT untuk Menggalakkan Industri Baru anjuran bersama Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri dan Kedutaan Republik Korea yang diadakan di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Menurut Dato Paduka lagi, ini merupakan salah satu inisiatif negara mempelbagaikan ekonomi bagi memastikan persekitaran perniagaan kondusif untuk memulakan perniagaan.

“Sehubungan itu, strategi teknologi untuk meningkatkan proses perniagaan dan menyediakan kemudahan kepada komuniti perniagaan sudah pun dilaksanakan. Usahawan tempatan dan pelabur berpotensi kini boleh melayari portal perniagaan, BusinessBN bagi mendaftarkan perniagaan mereka dalam masa 24 jam dan mencari maklumat berkaitan,” katanya.

Menurutnya, pelaburan asing langsung (FDI) kekal sebagai komponen utama dalam kepelbagaian ekonomi Brunei dan merupakan saluran penting untuk mendapatkan akses bukan sahaja dalam peluang pelaburan dan pekerjaan, malahan untuk pembangunan teknologi dan kemahiran.

Cho Won Myung menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Menteri Kewangan.
Cho Won Myung menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Menteri Kewangan.

Ini sejajar dengan usaha Brunei Darussalam untuk menaikkan ranking dunia dalam Ease of Doing Business seperti yang dicatatkan baru-baru ini, meningkat ke tangga 84 daripada tangga 105 pada tahun sebelumnya dalam World Bank’s Ease of Doing Business Report 2016.

“Ini merupakan hasil daripada usaha bersepadu daripada kerajaan untuk menambah baik persekitaran perniagaan Brunei melalui pembaharuan sistematik dalam proses, peraturan dan undang-undang,” tambahnya.

Persidangan juga dihadiri Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Cho Won Myung dan Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli serta wakil-wakil jabatan kerajaan, wakil-wakil syarikat tempatan dan Korea termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB), KAIST, SungKyunKwan University, Korea Register, Korean Telecom dan KTB Solution dan orang awam.

Turut berucap pada persidangan itu ialah Cho Won Myung dan Profesor Lee Soo-yung dari Korea Advance Korea Advanced Institute of Science dan Technoloy (KAIST).

Panel sesi dialog pada persidangan berkenaan.
Panel sesi dialog pada persidangan berkenaan.

Persidangan antaranya membincangkan Rangka Kerja FDI di Negara Brunei Darussalam, Financial Technology (FinTech): Trend baru e-Payment dan Pembayaran Mikro serta Perkhidmatan Kiriman Wang, Mengeksploitasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Penubuhan Institut AI, Kajian Kes Perkembangan Perisian dalam Piawaian Antarabangsa, dan Meneroka Pasaran ICT Global melalui Kerjasama dengan Pusat Inkubator KAIST dan iCentre, Brunei.

Persidangan berkenaan diharapkan dapat menjadi batu loncatan untuk lebih banyak kerjasama antara Darussalam Enterprise (DARe) melalui iCentre dan pusat inkubator di Korea.

Persidangan juga diisi dengan dua sesi dialog yang disertai Timbalan Setiausaha Tetap (IT, E-Kerajaan & Industri), Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, Awang Muhd Norshafiee bin Dato Paduka Haji Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Soon Loo, dan beberapa penceramah dari rakan negara Korea.

Persidangan diharapkan menjadi satu platform untuk memperkaya perkembangan strategik industri ICT Brunei yang memfokuskan dalam mengenal pasti kawasan-kawasan baru bagi inovasi dan perkembangan untuk negara, menyemai kesedaran mengenai model teknologi dan perniagaan yang baru.

Selain itu ia juga diharap meraih faedah daripada kisah kejayaan syarikat-syarikat Korea, memahami pembiayaan untuk rakan kongsi awam-swasta (PPP) dan pelaburan langsung asing (FDI) serta mengenal pasti bidang perniagaan berpotensi untuk dilaksanakan di sini.

ARTIKEL YANG SAMA