Pelaburan Arsenal untuk Sanchez berbaloi

Pelaburan Arsenal untuk Sanchez berbaloi

LONDON, 6 Mei (Reuters) – Alexis Sanchez muncul pemain pertama Arsenal sejak Thierry Henry menjaringkan lebih 20 gol pada musim pertama dan pengurus Arsene Wenger akur pemain Chile itu berjaya mengatasi semua jangkaan terhadapnya.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3-1 Arsenal pada aksi Liga Perdana ke atas Hull City awal pagi semalam untuk mengumpul 24 gol dalam semua pertandingan pada kempen sulungnya.

Sanchez mewarnai Liga Perdana sejak berpindah dengan harga 35 juta pound dari Barcelona pada hujung musim lalu sekalipun jumlah gol menakjubkan itu hanya sebahagian daripada impak besarnya di Stadium Emirates.

Pemain tengah menyerang itu turut menyumbang 11 bantuan dan bermain dengan tenaga yang sukar ditandingi serta keazaman tinggi untuk mengemudi Arsenal yang meraih 28 daripada 30 mata maksimum, sekali gus memastikan layak ke Liga Juara-Juara buat musim ke-18 berturut-turut.

Jumlah 24 gol itu, termasuk 16 dalam Liga Perdana, hadir menerusi rembatan kencang bak peluru yang melengkapkan larian pantas mengagumkan.

Awal musim ini, bekas bintang Arsenal, Henry, yang menjaringkan 175 gol Liga Perdana buat kelab itu, menyatakan Sanchez pembelian terbaik Wenger dalam tempoh enam tahun.

“Ya (dia melepasi semua jangkaan saya) kerana saya jangkakan dia lebih kepada pengumpan berbanding penjaring,” kata Wenger.

“Terutamanya kerana saya meletakkannya di bahagian sayap dan kurang memperoleh peluang. Tapi, dia sering berada di tempat tepat dan kualiti lariannya amat bagus.”

Sekiranya Arsenal mengatasi Manchester City untuk menduduki tangga kedua Liga Perdana dan mempertahankan trofi Piala FA pada final menentang Aston Villa hujung bulan ini, sumbangan Sanchez pastinya tidak ternilai.

ARTIKEL YANG SAMA