Pelaburan Brunei dialu-alukan di Vietnam

Pelaburan Brunei dialu-alukan di Vietnam

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Republik Sosialis Vietnam amat mengalu-alukan perusahaan dan syarikat dari Negara Brunei Darussalam untuk melabur di dalam pelbagai bidang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu bidang di mana perusahaan Brunei mempunyai kelebihan yang diperlukan oleh Vietnam.

Bidang-bidang berpotensi bagi Brunei ialah untuk meneroka atau membuat pelaburan dalam sektor tenaga, petroleum, kewangan, hartanah, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

Kesemua bidang itu memberikan banyak ruang bagi menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi Vietnam bagi perusahaan Brunei di mana ia boleh membawa kepada pembangunan bersama, kata Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tran Dai Quang.

Beliau turut berkata Vietnam mempunyai jumlah penduduk kira-kira 92 juta orang dan oleh itu, Vietnam merupakan sebuah pasaran yang amat besar dengan kuasa pembelian yang stabil dan terus meningkat terutama dalam kalangan kelas pertengahan.

Oleh itu, beliau percaya ia akan membuka banyak peluang serta potensi bagi syarikat-syarikat Brunei jika meneroka atau melabur dalam pasaran Vietnam.

Presiden Republik Sosialis Vietnam ketika menyampaikan ucaptamanya.
Presiden Republik Sosialis Vietnam ketika menyampaikan ucaptamanya.

Di samping itu, Brunei dan Vietnam merupakan anggota ASEAN dan juga ahli kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas di mana pemimpin kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan, mempromosikan pembangunan kerjasama dan pertanian, minyak dan gas serta pembangunan infrastruktur trafik menerusi kerjasama swasta dan awam (PPP), jelas Presiden Tran dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau berkata menerusi kaedah PPP, ia akan menjadi asas untuk melabur, melakukan perniagaan dan berkembang dengan mapan bersama serta pada masa yang sama untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Untuk membolehkan perdagangan dan pelaburan di antara Vietnam dan Brunei mencapai hasrat dan potensi bagi kerjasama kita, saya ingin untuk mencadangkan supaya komuniti perniagaan kira memainkan peranan yang lebih banyak dalam mengangkat kerjasama kita ke peringkat yang lebih tinggi.”

Dalam hubungan itu, Presiden Tran berkata peluang bagi meningkatkan hubungan dalam bidang perdagangan adalah berpotensi besar dengan harapan untuk melihat eksport ke Brunei bagi produk-produk perikanan dan pertanian, elektronik serta barangan pengguna untuk meningkat manakala import produk petrokimia Brunei ke Vietnam juga meningkat di mana ia adalah amat penting bagi pembangunan ekonomi Vietnam.

Ketika mengulas mengenai bidang pelancongan dalam ucaptama itu, Presiden Tran berkata bahawa wilayah selatan Vietnam menyerupai Brunei dan dengan adanya laluan penerbangan langsung di antara Vietnam dan Brunei akan membolehkan Brunei untuk mempunyai laluan perhubungan yang lebih baik dengan destinasi-destinasi lain di dunia serta akan dapat membantu untuk menarik lebih banyak pelancongan antarabangsa untuk berkunjung ke Brunei.

Beliau berkata bahawa pihaknya meletakkan kepentingan kepada projek-projek perniagaan Brunei di Vietnam dan dalam hubungan itu, autoriti setempat dan pusat akan menjanakan suasana yang memudahkan urus niaga bagi pelabur-pelabur Brunei dan asing serta adalah komited untuk memastikan kejayaan perniagaan mereka di Vietnam bagi jangka panjang.

“Pandangan kami bahawa kejayaan anda adalah kejayaan kami juga,” katanya lagi. Presiden Tran juga berkata hasil daripada kestabilan makro ekonomi dan integrasi ekonomi Vietnam ke dalam ekonomi dunia serta suasana pelaburan yang positif dan juga kepercayaan serta kerjasama yang efisien selama lebih 24 tahun di antara Brunei dan Vietnam, beliau yakin bahawa hubungan ekonomi, pelaburan dan perdagangan di antara kedua-dua buah negara itu akan terus menjadi lebih kukuh pada masa-masa mendatang.

ARTIKEL YANG SAMA