Pelaburan diluluskan pada Q1 2015 meningkat 18.8 peratus

Pelaburan diluluskan pada Q1 2015 meningkat 18.8 peratus

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) – Pelaburan yang diluluskan bagi sektor utama, perkhidmatan dan perkilangan meningkat 18.8 peratus kepada RM57.4 bilion pada suku pertama tahun ini (1Q15), berbanding RM48.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2014.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata sektor perkilangan merupakan penyumbang utama, meliputi 58.5 peratus daripada jumlah keseluruhan atau bersamaan RM33.6 bilion, diikuti perkhidmatan (38.9 peratus atau RM22.3 bilion) dan sektor utama (2.6 peratus atau RM1.5 bilion).

“Peningkatan ini dicatat walaupun Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Ekonomi Malaysia yang lebih rendah pada 2015.

“Ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik serta keupayaan negara bertahan dalam persekitaran yang semakin kompetitif,” katanya dalam pengumuman Prestasi Pelaburan Malaysia 1Q15 di sini hari ini.

Mustapa berkata sebahagian besar pelaburan adalah daripada sumber tempatan, sebanyak RM47.4 bilion atau 82.6 peratus dan selebihnya pelaburan asing.