Pelaburan langsung RM88.4b diluluskan

Pelaburan langsung RM88.4b diluluskan

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Pelaburan langsung bernilai RM88.4 bilion diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama pada separuh pertama 2016.

Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai itu adalah rendah berbanding RM125.9 bilion yang dicatat tempoh sama 2015.

“Pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2016 adalah bagi 2,499 projek dan dijangka menjana 76,000 pekerjaan,” katanya. Menurut MIDA, prestasi pelaburan lebih baik semasa separuh pertama 2015 didorong dua projek besar petrokimia yang diluluskan dalam sektor pembuatan pada tempoh sama tahun lepas — projek di Pengerang, Johor dan projek LNG9 di Sarawak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI). “FDI sebanyak RM28.2 bilion diluluskan pada separuh pertama 2016. Kelulusan pelaburan asing bagi separuh pertama 2016 telah mencecah 78.2 peratus daripada pelaburan asing keseluruhan yang diluluskan pada setahun penuh 2015,” katanya.

Menurut MIDA, sektor perkhidmatan terus menyumbang bahagian pelaburan keseluruhan terbesar iaitu RM67.5 bilion (76.3 peratus), sektor pembuatan dengan pelaburan RM19.6 bilion (22.2 peratus) dan sektor utama RM1.3 bilion (1.5 peratus). – Bernama