Pelaburan Rubber City cecah RM10b

Pelaburan Rubber City cecah RM10b

ALOR SETAR, 25 Okt (Bernama) – Projek ‘Rubber City’ yang akan mula dilaksanakan di Padang Terap awal tahun depan, dijangka menerima pelaburan antara RM5 bilion dan RM10 bilion pada peringkat awal, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kerja-kerja awalan seperti pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air akan bermula awal tahun depan.

“Projek Rubber City akan dilaksanakan secara berfasa dan jika kita memperoleh antara RM5 bilion dan RM10 bilion nilai pelaburan pada peringkat awal, ia adalah satu pencapaian baik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini.

Kira-kira 1,500 ekar tanah di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap dijangka digunakan untuk projek Rubber City. Pelbagai industri huluan dan hiliran turut dirancang untuk menjadikan kawasan itu maju seperti kawasan perindustrian bertekonologi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi memulakan projek Rubber City seperti pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas.

ARTIKEL YANG SAMA