Pelaburan sektor hartanah china terus perlahan

Pelaburan sektor hartanah china terus perlahan

BEIJING, 19 Okt – Pelaburan dalam sektor hartanah China, yang pernah menjadi jentera pertumbuhan utama, terus mengalami pertumbuhan pelahan pada tiga suku tahun pertama tahun ini, demikian menurut Agensi Berita Xinhua hari ini.

Pelaburan hartanah naik 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 7.05 trilion yuan mulai Januari hingga September, katanya yang memetik Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS).

Ia berkata pertumbuhan susut 0.9 mata peratusan berbanding lapan bulan pertama dan turun sebanyak dua mata peratusan daripada separuh pertama.

Pelaburan dalam perumahan yang menguasai kira-kira dua pertiga jumlah pelaburan hartanah, menokok 1.7 peratus daripada tahun sebelumnya, berbanding pertumbuhan 2.3 peratus pada lapan bulan pertama dan 2.8 peratus pada separuh pertama, katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, pembinaan perumahan baharu sebanyak 1.15 bilion meter persegi, turun 12.6 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pembinaan rumah kediaman baharu berkurangan 13.5 peratus mengikut keluasan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA