Pelacuran: 3 warga Vietnam didakwa

Pelacuran: 3 warga Vietnam didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Seorang lelaki dan dua orang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Hoang Van Minh, 37, yang bertindak sebagai ‘bapa ayam’ berdepan empat dakwaan di bawah Akta Perlindungan Wanita dan Gadis kerana mengupah dua orang wanita untuk memberikan khidmat seks.

Dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga $20,000 untuk setiap pertuduhan.

Luc Thi Tich, 24, dan Nguyen Thi Mong Tuyen, 28, pula didakwa melibatkan diri dalam memberikan perkhidmatan seks, dan hukuman yang dikemukakan ke atas mereka oleh Timbalan Pendakwa Raya, Emeralda binti Pehin Dato Haji Abas adalah denda sehingga $5,000 dan setahun penjara.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa ketiga-tiga tertuduh diberkas pada 8 September di Tasek Meradun, dan memohon kes ditangguhkan untuk mendapatkan jurubahasa Vietnam.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 14 September untuk sebutan semula kes.