Pelajar AS dibunuh di Rom, lelaki gelandangan ditangkap

Pelajar AS dibunuh di Rom, lelaki gelandangan ditangkap

ROM, 5 Julai – Polis Itali menangkap seorang lelaki gelandangan hari ini berhubung kematian seorang pelajar Amerika yang mayatnya telah ditarik keluar dari Sungai Tiber di Rom.

Beu Solomon, 19, dari Winconsin, ditemui kelmarin berhampiran sebuah jambatan di bandar Itali selepas hilang pada awal pagi Jumaat ketika keluar malam di daerah Trastevere.

Massimo Galioto, 41, seorang lelaki gelandangan warga Itali, telah ditangkap kerana membunuh selepas dia memberi pengakuan bercanggahan tentang keberadaannya pada malam ia disoal siasat, kata polis dalam satu kenyataan.

Para saksi memberitahu polis, mereka melihat seorang lelaki membuang seseorang ke dalam sungai pada awal hari Jumaat.

Peminat sukan itu, yang dilaporkan pulih daripada penyakit kanser ketika kanak-kanak dan berharap akan menyertai politik selepas tamat universiti, mengalami kecederaan di kepala dan bajunya berlumuran darah, menurut akhbar harian La Stampa.

Kad banknya juga telah digunakan semasa dia hilang oleh seseorang yang mengeluarkan sejumlah wang kira-kira 1,500 euro (AS$1,675) di Milan, menurut laporan.

Solomon, yang dijangka akan memulakan program belajar seberang laut di Universiti John Cabot, baru saja tiba di Rom dan pergi keluar minum bersama rakan pelajar luar negeri yang lain di daerah popular berhampiran sungai.

Berita ketiadaannya dilaporkan selepas dia gagal hadir ke kelas pertamanya pada hari berikutnya dan anggota keluarganya yang bimbang tiba di Rom pada Isnin selepas mayatnya ditemui dan dikenal pasti. – AFP