Pelajar asnaf Ranau terima zakat pendidikan TH

Pelajar asnaf Ranau terima zakat pendidikan TH

RANAU, 17 Nov – Seramai 140 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 10 sekolah di daerah Ranau menerima zakat pendidikan berjumlah RM70,000 sebagai bantuan kepada pelajar berkenaan untuk menghadapi sesi pembelajaran tahun hadapan.

Bantuan berjumlah RM500 termasuk wang tunai RM300 dan peralatan sekolah termasuk beg sekolah melalui program Iqra berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji (TH) Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

“Sumbangan bantuan Program Iqra di-salurkan melalui bidang pendidikan kerana bidang ini dilihat sebagai pemboleh ubah penting dalam memajukan seseorang individu, masyarakat dan Negara.

“Dalam era kemajuan dan globalisasi ini, masyarakat yang berpendidikan adalah aset penting negara bagi memastikan kelestarian dan kelangsungan pembangunan,” kata Adi Azuan ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut beliau program Iqra menyasarkan pelajar asnaf di seluruh negara yang merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang dilaksanakan setiap tahun pada bulan November. Pada tahun ini, TH mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar dari 178 buah sekolah di seluruh negara.

Sebahagian daripada 140 pelajar golongan asnaf dari sekitar daerah Ranau yang menerima bantuan pendidikan Tabung Haji menerusi program Iqra. – Bernama
Sebahagian daripada 140 pelajar golongan asnaf dari sekitar daerah Ranau yang menerima bantuan pendidikan Tabung Haji menerusi program Iqra. – Bernama

Adi Azuan berkata program Iqra berkenaan merupakan tanda keprihatinan TH terhadap golongan asnaf dan dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam negara ini.

Beliau berharap bantuan berkenaan dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekali gus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

“Jangan jadikan kemiskinan melemahkan diri anda untuk berjaya. Tunjuk kepada masyarakat bahawa kemiskinan bukan halangan untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga menuntut ke universiti termasuk universiti luar negara,” katanya. – Bernama