Pelajar bantu ringankan beban

Pelajar bantu ringankan beban

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 26 Jun – Bagi memupuk tanggungjawab pelajar dan membantu masyarakat yang memerlukan, pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong baru-baru ini menganjurkan aktiviti amal bulan Ramadan dikenali sebagai ‘Aur dan Tebing.’

Seramai 168 pelajar membantu keluarga-keluarga kurang berkemampuan bermula 15 hingga 26 Jun dalam usaha meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

Aktiviti amal ‘Aur dan Tebing’ ini merupakan kerjasama antara para guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru-guru (PIBG) dan para Pelajar PTE Tutong yang mana sumbangan derma ini adalah hasil derma daripada pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan PTE Tutong dan ibu bapa yang berkesudian.

Setelah hasil derma dikumpulkan selama dua hari iaitu 18 Jun dan 20 Jun, hasil sumbangan derma ini telah diberikan kepada pelajar-pelajar PTE Tutong yang kurang berkemampuan dan diberikan kepada beberapa buah keluarga yang terpilih melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Pelajar-pelajar dan guru-guru PTE Tutong yang terlibat dalam menyumbangkan barangan kepada keluarga yang memerlukan berkesempatan bergambar ramai.
Pelajar-pelajar dan guru-guru PTE Tutong yang terlibat dalam menyumbangkan barangan kepada keluarga yang memerlukan berkesempatan bergambar ramai.

Menurut salah seorang pelajar yang mengikuti aktiviti amal ini, Dayang Wafaa Wajihah binti Mohd Rosmadini, aktiviti amal ini dapat membuka mata mereka agar sentiasa saling bekerjasama dan saling bantu-membantu masyarakat yang memerlukan.

Walaupun dalam keadaan berpuasa, membantu seseorang yang memerlukan ini memberi makna yang besar buat mereka, katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA