Pelajar baru ITQSHHB diseru tingkat kesungguhan

Pelajar baru ITQSHHB diseru tingkat kesungguhan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Para pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pendidikan menengah di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi sesi 2016 diseru untuk menunjukkan kesungguhan dan ketekunan semasa mengikuti pengajian.

Mereka disarankan supaya memenuhi hati dan jiwa dengan keikhlasan untuk menerima dan menyahut amanah Allah S.W.T itu dan bersyukur terpilih meneruskan pengajian di institut tersebut yang juga merupakan antara institusi pengajian yang menjadi rebutan dan idaman para pelajar di seluruh negara.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud ketika berucap pada Majlis Penerimaan Para Pelajar Baru (Peringkat Menengah), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Dewan Kuliah Institut tersebut di Ibu Negara, hari ini.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti, yang juga Pengerusi Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa istiqamah dan bijak membuat keputusan dalam menghafaz Al-Quran, di samping mempelajari mata pelajaran lain.

“Para pelajar juga perlu sabar dan tabah dalam menghadapi apa juga rintangan dan cabaran semasa proses pembelajaran dan penghafazan, serta perlu mendekatkan diri dengan para pendidik dan pensyarah bagi meminta nasihat dan bimbingan.”

Tetamu kehormat menyampaikan Mushaf Al-Quran kepada pelajar baru.
Tetamu kehormat menyampaikan Mushaf Al-Quran kepada pelajar baru.

Menurutnya lagi, Institut itu ditubuhkan bukan hanya bertujuan untuk melahirkan modal insan yang memiliki satu-satu bidang tertentu semata-mata, akan tetapi juga dihasratkan agar institut tersebut berjaya melahirkan lebih banyak modal insan yang mantap dalam ilmu Al-Quran di samping memiliki kepakaran dalam bidang lain.

Dengan mengambil keberkatan dan hikmah sempena sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, beliau menggesa para pelajar supaya mengenali dan mencontohi Baginda Rasulullah S.A.W secara mendalam sebagai ‘Uswah Hasanah’ bagi semua umat Islam.

Awal daripada itu, Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya selaku Pengerusi Majlis, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baru dan ibu bapa mereka atas kejayaan anak-anak mereka diterima melanjutkan pengajian mereka di Institut itu.

Menurut beliau, pengambilan bagi Sesi Pengajian 1437H/2016M institut tersebut adalah sebanyak 389 permohonan. Setelah menjalani ujian temu duga kemasukan, dengan mengambil kira akan kebolehan pelajar berdasarkan syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan seramai 35 orang calon lelaki dan 18 orang calon perempuan ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian.

Daripada jumlah kemasukan itu, seramai 42 orang ialah calon daripada kalangan pelajar lepasan sekolah Arab, manakala 11 yang lain ialah pelajar lepasan sekolah aliran umum dan sekolah swasta.

Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan Mushaf Al-Quran kepada semua pelajar baru, diikuti dengan lafaz Ikrar Pelajar Baru Institut tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, para ibu bapa, pelajar-pelajar baru yang diraikan serta pegawai, guru dan kakitangan Institut itu.

Majlis tersebut merupakan acara kemuncak bagi Program Minggu Ta’aruf (Orientasi) bagi pelajar baru yang diadakan selama lima hari yang bermula pada 12 hingga 16 Januari 2016.

ARTIKEL YANG SAMA