Pelajar baru SSE digesa capai aspirasi

Pelajar baru SSE digesa capai aspirasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE), Politeknik Brunei baru-baru ini telah mengadakan Hari Orientasi Pengambilan Penuntut ke-5 bagi sesi 2015/2016, di Kampus Lumut, sekolah itu.

Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya, memberikan kata-kata motivasi kepada para penuntut baru itu agar memiliki pemikiran dan sikap positif untuk terus fokus dalam pengajian mereka dalam mencapai aspirasi Politeknik Brunei iaitu untuk menjadi sebuah politeknik yang menghasilkan graduan-graduan yang inovatif, berkemahiran dan boleh dipasarkan.

Menurut kenyataan daripada sekolah berkenaan, para pelajar yang terlibat dalam hari orientasi itu telah didedahkan dengan program-program yang boleh membantu mereka untuk mengetahui lebih banyak mengenai Politeknik Brunei dan memberikan pandangan kehidupan produktif sebagai seorang penuntut politeknik. Mereka juga berpeluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti kepimpinan membangunkan pasukan serta sesi kejayaan dan taklimat motivasi yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Jabatan Kaunseling Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Pengiran Hamiosmera bin Pengiran Othman.

Para pelajar baru semasa mengikuti aktiviti kepimpinan.
Para pelajar baru semasa mengikuti aktiviti kepimpinan.

Pengiran Hamiosmera dalam taklimatnya, menjelaskan mengenai beberapa aspek seperti kehadiran, persediaan peperiksaan begitu juga kepentingan ibu bapa dalam menggalakkan penyertaan anak-anak mereka.

Sementara itu, tambahan bangunan baru di kampus tersebut telah memberi satu lagi peristiwa penting bagi Politeknik Brunei yang mana kemudahan baru itu telah menyediakan lima program diploma iaitu Diploma dalam Kejuruteraan yang merangkumi; Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Komunikasi dan Sistem, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam, Diploma dalam Penggerudian, Diploma dalam Teknologi Sains (kepakaran dalam teknologi kimia), Diploma dalam Rekaan Dalaman, dan Diploma dalam Seni Bina.

ARTIKEL YANG SAMA