Pelajar berpeluang ketahui perundangan UK

Pelajar berpeluang ketahui perundangan UK

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pelajar-pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan pusat-pusat tingkatan lainnya, hari ini berpeluang mengetahui mengenai undang-undang di United Kingdom (UK) menerusi taklimat yang diadakan di JIS, hari ini.

Taklimat telah disampaikan oleh Sub-Treasurer Inner Temple, Patrick Maddams, mewakili Inn on the Board of the Council of the Inns of Court, yang menyentuh mengenai pelbagai perkhidmatan perundangan dan profesional kepada Badan Peguam England dan Wales, serta program-program latihan advokasi antarabangsa.

Dekan Pendidikan Tinggi di JIS, Russell Mann mengulas bahawa lawatan ke sekolah oleh golongan peguam seperti Patrick Maddams, memberi peluang besar kepada pelajar JIS untuk mendapatkan pandangan berharga dalam profesion undang-undang di UK.

Dalam ceramahnya, Maddams menerangkan peranan peguam, fungsi empat Inns of Court, termasuklah proses yang dikenali sebagai ‘Call to the Bar’ dan kepentingan Kursus Latihan Profesional Peguam.

Di samping itu, beliau juga memberikan butiran bersejarah yang menarik tentang Inner Temple yang wujud sejak abad ke-13 dan telah memainkan peranan penting dalam profesion undang-undang England sejak zaman itu, terutamanya dalam peruntukan pendidikan dan latihan bagi peguam. Maddams menekankan nilai berterusan mempelajari undang-undang yang ditawarkan di universiti-universiti di UK, yang kedudukannya kekal antara yang terbaik di dunia, dan menekankan laluan berbeza yang ada untuk menjadi seorang peguam, sama ada dengan mengambil jurusan ijazah sarjana muda undang-undang dan diikuti dengan memohon terus bagi Kursus Latihan Profesional Peguam (BPTC) atau kelulusan sarjana muda dalam sebarang subjek dan diikuti dengan Diploma Sarjana Undang-undang sebelum memulakan BPTC.

Selepas taklimat Maddams, majlis turut mendengarkan perkongsian pengalaman daripada alumni JIS, Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman dan Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin dari Mahkamah Tinggi Brunei Darussalam, sebagai pelajar undang-undang Brunei di UK.

Pengiran Shahyzul mendapat pendidikan di London School of Economic di mana beliau mengambil Ijazah dalam Undang-undang (LL.B). Beliau menyertai Pejabat Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang pada Disember 2009 dan diterima menjadi peguam oleh Honourable Society of Middle Temple pada Mac 2010 dan dilantik menjadi Majistret Mahkamah Rendah pada Januari 2015.

Hajah Noor Amalina mengambil jurusan Ijazah Undang-undang (LL.B) di Universiti Nottingham dan meneruskan pengajian di School Of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London di mana beliau mengambil Ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dalam Undang-undang Antarabangsa.

Beliau diterima menjadi peguam oleh Honourable Society of Middle Temple pada November 2012 dan pada April 2013 menyertai Pejabat Peguam sebagai penasihat undang-Undang. Beliau dilantik menjadi Pendaftar Mahkamah Tinggi pada September 2013. Kedua-dua mereka merupakan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA