Pelajar Brunei di UK dinasihatkan berjaga-jaga

Pelajar Brunei di UK dinasihatkan berjaga-jaga

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Berikutan kejadian banjir teruk di utara England, para pelajar Brunei yang sedang menuntut di United Kingdom (UK) telah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah yang telah dicadangkan oleh pihak berkuasa di kawasan masing-masing.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke media sosial, Unit Penuntut-Penuntut Brunei (UPP) di UK menggesa para pelajar supaya berhubung dengan UPP, Kesatuan Pelajar Brunei (BSUnion) atau presiden persatuan-persatuan pelajar masing-masing mengenai sebarang kebimbangan terutamanya kebajikan mereka.

Semalam, AFP melaporkan bahawa kerajaan British telah mengerahkan beratus-ratus tentera untuk membantu menangani bencana banjir paling buruk di wilayah Yorkshire, di mana beratus-ratus orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas wilayah itu mengalami banjir terburuk dalam tempoh 70 tahun.

Pihak berkuasa tempatan berkata, Perdana Menteri David Cameron memberi jaminan lebih banyak bantuan tentera di rantau itu ketika askar dikerah untuk membantu pemindahan antara 300 hingga 400 penduduk di York, di mana paras air Sungai Ouse dijangka terus meningkat hingga esok.

Hujan dalam tempoh sebulan turun di seluruh utara England sejak beberapa hari lalu dan air banjir menenggelamkan bandar dan pekan termasuk Manchester, Rochdale dan Leeds.

Pekerja penyelamat membantu memindahkan penduduk awam yang terjejas akibat banjir di York, utara England semalam selepas Sungai Foss melimpah. – AFP
Pekerja penyelamat membantu memindahkan penduduk awam yang terjejas akibat banjir di York, utara England semalam selepas Sungai Foss melimpah. – AFP

Para pekerja kecemasan menggunakan dingi untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap di York, dengan sebilangan orang meredah banjir separas pinggang membawa harta benda di atas kepala mereka.

Lebih 200 amaran banjir dan berjaga-jaga dikeluarkan di England dan Wales, 24 daripadanya teruk, bermakna mempunyai risiko membahayakan nyawa.

ARTIKEL YANG SAMA