Pelajar Brunei menang pertandingan bahas

Pelajar Brunei menang pertandingan bahas

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Tiga ahli Persatuan Pelajar Undang-undang Asia (ALSA) dan pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memenangi Pertandingan Bahas Thomas Phillips Moot dalam Persidangan Tahunan Malaysia 2016, baru-baru ini.

Persidangan tahunan itu adalah salah satu daripada dua acara terbesar dalam ALSA Antarabangsa di mana semua pelajar undang-undang dari 15 buah negara berkumpul untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan, bagi mengambil bahagian dalam Perbincangan Perbahasan Moot dan Model Bangsa-bangsa Bersatu.

Tahun ini, ALSA Brunei telah menghantar tiga orang pembahas Moot iaitu Awang Rusyddin bin Bagul, Dayang A’bidah binti Mahri dan Awang Hafiz bin Hamzulani.

Dalam pertandingan ini, lima daripada 15 buah negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut iaitu ALSA Brunei, ALSA Taiwan, ALSA Thailand, ALSA Malaysia dan ALSA Laos.

Sebelum bermulanya persidangan, semua para peserta telah diberikan tempoh sebulan untuk membincangkan masalah moot sebagai persiapan bagi mereka menyediakan ‘Bundle of Authorities/Memorials’ yang mana masalah-masalah moot itu bertumpu pada topik Undang-undang Jenayah Antarabangsa.

Tiga pelajar ahli ALSA dan UNISSA yang telah memenangi Pertandingan Bahas Thomas Phillips Moot, baru-baru ini.
Tiga pelajar ahli ALSA dan UNISSA yang telah memenangi Pertandingan Bahas Thomas Phillips Moot, baru-baru ini.

Di samping itu juga, ALSA Brunei telah menghantar lima orang pelajar dari Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA untuk mengambil bahagian dalam Model Bangsa-bangsa Bersatu. Dua daripada lima orang peserta Brunei juga memenangi Kedudukan Kertas Terbaik iaitu Awang Abdul Hakim bin Ahmad Zakaria dan Dayang Nurhani binti Haji Chipli.

Presiden ALSA Brunei, Dayang Azilla Liyana binti Mohd Azam Zaki melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan yang membantu melatih pendebat-pendebat dalam membuat persediaan iaitu Dr. Altaf Hussein dan Naib Presiden ALSA Brunei, Hajah Zalwatul Sakinah binti Haji Ibrahim, selaku mantan Pembahas Moot bagi Pertandingan AC Herbert Smith Freehils Moot di Singapura pada tahun 2014.

Beliau juga ingin mengucapkan terima kasih UNISSA atas sokongan dan tajaan ALSA Brunei sejak tahun 2010.