Pelajar Brunei sertai APTJSO ke-4

Pelajar Brunei sertai APTJSO ke-4

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Seramai enam pelajar berbakat telah dipilih bagi mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Pengembaraan Sains Junior ASEAN Campur Tiga (APTJSO) ke-4 yang berlangsung di Serpong-Tangerang, Indonesia bermula 24 hingga 29 Ogos.

Rombongan pelajar yang diiringi dua pegawai pelajaran itu telah berlepas meninggalkan negara ini, hari ini, untuk membentangkan projek poster mengenai tumbuh-tumbuhan asli Brunei yang mempunyai khasiat perubatan yang mana ia adalah penyertaan kali keempat dengan membawa tema Biodeversiti Ke Arah Masyarakat Inovatif, Pintar dan Hijau.

Para pelajar berbakat berusia dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun itu telah dipilih dari pelbagai buah sekolah di negara ini, dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan 1 dianggotai oleh Awang Afiq Hafizin bin Haji Abu Ubaidah dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Awang Nigel Chin Onn Yu dari Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait dan Dayang Lee Wan Sze dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

Kumpulan 2 pula dianggotai oleh Awang Dion Goh Thien Pao dan Dayang Nurul Najihah binti Mohd Marasharin dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan serta Awang Abdul Malik bin Hassanuddin dari Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Semasa APTJSO ke-4 yang akan berlangsung selama lima hari di Pusat bagi Penyelidikan S&T (PUSPIPTEK), Serpong-Tangerang, Kumpulan 1 akan membentangkan poster bertajuk Aidia Racemosa:
Teh bagi Kesihatan, manakala Kumpulan 2 pula akan membentangkan poster bertajuk Curculigo Latifolia: Pemanis Semula Jadi.

Rombongan dari Negara Brunei Darussalam yang berlepas untuk menyertai Pengembaraan Sains Junior ASEAN Campur Tiga (APTJSO) ke-4 yang akan berlangsung di Indonesia.
Rombongan dari Negara Brunei Darussalam yang berlepas untuk menyertai Pengembaraan Sains Junior ASEAN Campur Tiga (APTJSO) ke-4 yang akan berlangsung di Indonesia.

Selain membentangkan poster-poster, para peserta dari negara-negara ASEAN+3 akan menyertai sesi kuliah, latihan makmal serta lawatan sambil belajar.

Mereka bersama para pelajar dari negara-negara ASEAN+3 juga akan bertanding melalui penilaian kemahiran makmal dan projek berkumpulan yang bakal menggabungkan pelajar-pelajar dari pelbagai negara yang berlainan.

Para guru yang mengiringi pelajar masing-masing termasuk dari Brunei iaitu Dayang Rozi Suzanah binti Yatab dari Program dan Perkhidmatan Pendidikan Berbakat, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dan Awang Lim Kok Wei dari Sekolah Menengah Lambak Kiri bersama guru-guru yang lain pula akan menghadiri program berasingan seperti bengkel guru, lawatan sambil belajar dan pembentangan projek yang berkisar kepada tema Pendekatan Pintar dalam Pendidikan Sains bagi Pelajar Berbakat di Negara Anda.

Program APTJSO ke-4 merupakan salah satu program di bawah Pusat ASEAN+3 bagi yang Berbakat dalam Sains (ACGS)yang bermatlamat untuk meningkatkan dan mengembangkan pendidikan bagi pelajar-pelajar berbakat dalam bidang sains, mengukuhkan pertukaran kebudayaan dalam kalangan negara-negara ASEAN+3 serta untuk menyediakan suasana serta peluang-peluang yang membolehkan para pelajar berkenaan menyumbang kepada pertumbuhan, pembangunan dan keamanan rantau berkenaan.

Selain itu, pelajar yang terlibat juga berpeluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan menggalakkan serta mencabar diri mereka dalam bidang sains dan teknologi serta pada masa yang sama untuk menguji kebolehan mereka melalui pelbagai pengalaman dan eksperimen yang dijalankan.

Menerusi penyertaan mereka dalam program berkenaan, para peserta diharap dapat menubuhkan rangkaian dan persahabatan dengan pelajar-pelajar berbakat dari setiap rantau APT dan juga untuk menggalakkan mereka menceburi bidang kerjaya sains dan teknologi pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA