Pelajar Brunei sertai Global Link Science

Pelajar Brunei sertai Global Link Science

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Dengan hasrat untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan lagi pengalaman serta ilmu pengetahuan mengenai isu-isu dan pertukaran ilmu saintifik, rombongan pelajar dan guru-guru seramai lapan orang telah berlepas ke Singapura untuk menyertai Global Link Science 2015 yang akan berlangsung di Nanyang Technological University, Singapura bermula hari ini hingga 27 Julai.

Rombongan negara diwakili oleh dua buah pasukan iaitu pasukan pertama dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam yang dianggotai oleh Dayang Hafizatul Ramadhanniah binti Jumahat pelajar Tahun 11A, Dayang Nurhusnina binti Ibrahim (Tahun 10 A), Awang Muhammad Nur A’syraf bin Haji Suhaini (Tahun 9C) dan Pegawai Pelajaran, Dayang Rohaya binti Haji Mohamad selaku guru pengawas dengan pasukan ini akan membentangkan projek bertajuk The Growth of Choy Sum Grown In Simple Aquaponics System.

Manakala itu, pasukan kedua pula dari Sekolah Menengah Rimba II yang dianggotai oleh Awang Muhd Hafiy Waqiuddin bin Dr Haji Supry, Dayang Nur Izzah Shahirah binti Narawi, Dayang Nurin Jazlina binti Mardini yang mana kesemua mereka adalah pelajar Tahun 10 dan Pegawai Pelajaran, Dayang Siti Zahrani binti Haji Mohd Salleh selaku guru pengawas dengan pasukan itu bakal membentangkan projek bertajuk The Effect of Human Disturbances on Distribution of Ghost Crabs (Ocypode sp.) in Brunei Beaches.

Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Dayang Sarimah Abu Bakar, pegawai-pegawai dari Pusat STEP serta ibu bapa dan keluarga ahli-ahli rombongan.

Dayang Siti Zahrani memberitahu Media Permata bahawa pelajar-pelajarnya telah mula melaksanakan projek mereka lebih daripada setahun yang lalu dan ia juga merupakan projek yang membawa mereka ke tempat ketiga dalam pertandingan PRYNSA ke-17.

Dayang Sarimah bergambar ramai dengan rombongan negara yang akan menyertai Global Link Science 2015 di Singapura.
Dayang Sarimah bergambar ramai dengan rombongan negara yang akan menyertai Global Link Science 2015 di Singapura.

Beliau berkata bahawa, melalui projek itu, pelajar-pelajarnya banyak menimba ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang penyelidikan serta memahami perlunya untuk bekerjasama dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Global Science Link merupakan persidangan unik yang mempunyai pelbagai elemen pendidikan serta menjadi platform bagi pelajar-pelajar dari seluruh dunia untuk mengongsikan hasil penyelidikan mereka dengan para peserta yang lain serta juga panel penyelidik yang diiktiraf.

Pada masa yang sama, persidangan itu juga memberikan peluang kepada para peserta untuk menjalinkan rangkaian persahabatan dengan para pelajar lain serta memberikan pendedahan kepada mereka mengenai penggunaan sains di luar bilik darjah melalui lawatan ke beberapa tempat yang menarik serta aplikasi sains kepada industri.

Semasa persidangan itu, kesemua peserta dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan menghasilkan poster bagi projek masing-masing dan hanya lapan projek dipilih untuk menyertai pertandingan pembentangan projek.

Di samping mengadakan lawatan, menyertai bengkel, pembentangan poster dan projek, para peserta juga akan menghadiri seminar mengenai pemikiran kreatif yang akan disampaikan oleh Douglas Carver.

ARTIKEL YANG SAMA