Pelajar buat kajian hasilkan vaksin Zika

Pelajar buat kajian hasilkan vaksin Zika

MUAR, 15 Sept – Seorang pelajar sebuah universiti di kampus Alor Gajah, Melaka, Hariz Haikal Nasuha kini sedang membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioproses, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET) itu membuat penyelidikan tersebut di ladang herba terbesar di Asia milik bapanya, Nasuha Kasian, 62, seluas 1,295 hektar dekat sini.

Hariz Haikal, yang juga ketua penyelidik Nasuha Biotechnology & Biodiversity Sdn Bhd berkata pihaknya mula menjalankan kajian secara makmal sejak enam bulan lepas dan mendapati pati wap campuran enam jenis herba mampu merencatkan sel virus Zika daripada terus merebak.

Hariz Haikal membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin untuk mencegah jangkitan virus Zika di ladang herba terbesar Asia milik ayahnya, Nasuha Kasian di Muar, kelmarin. – Bernama
Hariz Haikal membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin untuk mencegah jangkitan virus Zika di ladang herba terbesar Asia milik ayahnya, Nasuha Kasian di Muar, kelmarin. – Bernama

“Penggunaan pati herba tersebut juga mampu mematikan virus tersebut secara perlahan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata hasil daripada penyelidikan itu, pihaknya berjaya menghasilkan minyak pati wap berasaskan pati herba campuran yang boleh dimajukan untuk dijadikan vaksin virus Zika. – Bernama