Pelajar cemerlang dirai

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Bagi galakan para pelajar untuk terus meraih kejayaan, Seksyen Bahagian Rendah dan Menengah, Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMS), petang tadi, telah mengadakan majlis penyampaian penghargaan dan penganugerahan pelajar-pelajar cemerlang dalam akademik bagi Peperiksaan GCE/IGCSE Peringkat ‘O’ dan Penilaian Sekolah Rendah 2017.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut yang berlangsung di Hotel Mulia, Anggerek Desa ialah Pemangku Pengarah Am, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

Seramai 69 pelajar dalam Peperiksaan GCE/IGCSE telah menerima hadiah dan anugerah tersebut di atas kecemerlangan mereka dalam

pelbagai keputusan termasuk yang mempeolehi keputusan kredit 8 hingga 9 dalam Peperiksaan GCE/IGCSE Peringkat ‘O’, terbaik dalam mata pelajaran, pelajar cemerlang dalam Pure Science dan Combined Science.

Hajah Anis Faudzulani ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang yang dirai.

Vibhusha Selvam Vinothini dari Pure Science dan Dayangku Amirah Suhailah binti Pengiran Amir Taufek dari Combined Science telah menerima penghormatan sebagai pencapaian kecemerlangan terbaik dalam mata pelajaran masing-masing.

Manakala, dalam peringkat rendah, seramai 55 pelajar mendapat keputusan 4A dan 5A dalam Peperiksaan PSR ‘Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2017 turut diraikan dalam majlis tersebut.

Menurut Pengetua sekolah bahagian menengah, Gazala Abdullah semasa ucapan alu-aluannya menyentuh bahawa SMS sentiasa komited dalam memberikan peluang sama rata kepada semua pelajar supaya mereka sedar potensi sebenar dan bersedia untuk menghadapi dunia luar selepas mereka menamatkan pembelajaran mereka di sekolah tersebut.

“Kejayaan tidak akan tercapai tanpa kerja keras dan komitmen dari kesemua guru,” jelasnya.