Pelajar cemerlang diraikan

Pelajar cemerlang diraikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), semalam, telah meraikan pelajar-pelajar cemerlangnya dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Akademik 2015 Bagi Pelajar Terbaik Tahun 7 hingga 11 dan BCGCE ‘O’ Level 2015, yang diadakan di Dewan Serba guna SMSUA.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Rosli bin Pengiran Haji Halus.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Darwisy Ariffin bin Haji Timbang, dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut Tahun 11G2, Awang Muhd Nuraman bin Matdon dan terjemahannya oleh Awang Mohd Firdaus bin Abdul Khamis dari Tahun 11A2, sebelum ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMSUA, Hajah Sapiah binti Pengarah Haji Buntar.

Selepas menyampaikan ucapannya pada majlis itu, tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil akademik kepada penuntut terbaik dalam Tahun 7 hingga 10 bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2015, kemudian 10 Penuntut Terbaik di setiap peringkat bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2015.

Pelajar cemerlang bergambar ramai bersama ibu bapa, tetamu kehormat dan guru.
Pelajar cemerlang bergambar ramai bersama ibu bapa, tetamu kehormat dan guru.
Salah seorang pelajar menerima hadiah.
Salah seorang pelajar menerima hadiah.

Seramai, 69 orang penuntut menerima hadiah penuntut terbaik bagi Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level 2015 dan terbaik dalam subjek bagi Tahun 2015. Untuk mengenang jasa dan pengorbanan serta kerjasama yang padu, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah Penghargaan Guru kepada 18 orang guru yang berjaya dalam meningkatkan keputusan BCGCE ‘O’ Level 2015. Seterusnya, acara diikuti dengan penganugerahan Ibu Angkat Contoh Program VK4U 2015 yang telah disandang oleh Hajah Nurulsylfadlina binti Haji Mohd Yassin. Anugerah Pelajar Terbaik di bawah Skim Miftah An-Najjah 2015 pula dianugerahkan kepada Dayang Nur Syakirah binti Mahli, manakala itu, Anugerah Peningkatan Keputusan Akademik Terbaik BCGCE ‘O’ Level 2015 diterima oleh Awang Alief Sofyan Rasyad bin Sahbilal.

Kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Akademik BCGCE ‘O’ Level 2015 secara keseluruhan yang dianugerahkan kepada Awang Izzat Itqan bin Haji Hayrul.

Bagi memeriahkan lagi majlis, persembahan guling tangan dipersembahkan oleh penuntut Tahun 9 yang dipimpin oleh salah seorang guru, Haji Mohd Norizwan bin Haji Mat Salleh.

ARTIKEL YANG SAMA