Pelajar cemerlang, guru terbaik dirai

Pelajar cemerlang, guru terbaik dirai

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 2 Jun – Seramai 195 orang pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah rendah, menengah dan agama di Daerah Belait, 29 guru terbaik dan tiga sekolah terbaik mengikuti kategori masing-masing telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Akademik Cemerlang 2015 Daerah Belait anjuran Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman yang menyatakan bahawa komitmen berterusan pihak Brunei LNG dalam menganjurkan majlis sedemikian sejak 15 tahun lalu, memperlihatkan kesungguhan mereka dalam memberikan sumbangan bakti kepada stakeholder yang mempunyai kepentingan dengan syarikat tersebut, serta sokongan mereka khususnya dalam bidang pendidikan.

Dengan usaha berterusan itu juga, Brunei LNG jelas menunjukkan keprihatinan dan pemedulian mereka tentang perkembangan dan kemajuan akademik di Daerah Belait khususnya, ujar beliau lagi ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu yang dikendalikan bersama oleh Sekolah Ugama Sungai Taring dan Sekolah Chung Lian Sungai Liang.

Haji Mohammad Husini menyampaikan hadiah kepada pela-jar cemerlang kategori sekolah rendah dan agama.
Haji Mohammad Husini menyampaikan hadiah kepada pela-jar cemerlang kategori sekolah rendah dan agama.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Ugama Sungai Taring Lumut, Awang Mohammad Khairul Arifin bin Aji semasa berucap menyatakan, majlis itu bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi kepada pelajar-pelajar supaya berusaha dengan lebih tekun dan gigih dan juga sebagai memberikan penghargaan kepada guru-guru atas usaha berterusan mereka dalam mendidik sehingga akhirnya mencapai keputusan yang cemerlang kepada pelajar-pelajar.

Menurutnya, pada tahun ini, penyampaian hadiah akademik 2015 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori Peringkat Sekolah Rendah dan Ugama, Kategori Peperiksaan Awam iaitu Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan Peperiksaan Brunei Cambridge G.C.E Peringkat ‘A’, seterusnya Kategori Guru Terbaik dan Kategori Sekolah Terbaik Peringkat Rendah, Ugama dan Menengah.

Beliau menjelaskan, pemilihan kategori dibuat berdasarkan keputusan yang mencapai 90 peratus ke atas dan markah yang tinggi sahaja diambil bagi setiap darjah dan peringkat dalam peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan awam tahun 2015.

Haji Haris ketika menyempurnakan penyampaian hadiah terbaik pelajar cemerlang peperiksaan awam tahun 2015.
Haji Haris ketika menyempurnakan penyampaian hadiah terbaik pelajar cemerlang peperiksaan awam tahun 2015.

Manakala itu, bagi kategori guru terbaik, pemilihan dibuat berdasarkan keputusan cemerlang yang dihasilkan oleh guru tersebut dalam peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan awam tahun 2015.

Bagi kategori sekolah terbaik pula pemilihan dan penilaiannya dibuat oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Belait dan Jabatan Pengajian Islam Belait berdasarkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, penglibatan pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), aktiviti kokurikulum dan penglibatan dengan masyarakat.

Penyampaian hadiah akademik cemerlang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan agama telah disempurnakan oleh Pengarah Perundangan dan Komunikasi Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Haji Mohammad Husini bin Haji Abu Bakar.

Manakala itu, penyampaian hadiah penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang peperiksaan awam tahun 2015 disempurnakan oleh tetamu kehormat dan penyampaian hadiah penghargaan kepada guru-guru terbaik pula disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Awang Mohamad bin Haji Awang Damit.

Majlis turut menyaksikan beberapa persembahan daripada pelajar-pelajar Sekolah Ugama Sungai Tali Lumut dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut dan sesi bergambar ramai pelajar terbaik dengan tetamu kehormat dan guru-guru sekolah.

Majlis tersebut merupakan projek tahunan Brunei LNG dan pada tahun ini merupakan kali ke-15 ia diadakan sejak tahun 2002.