Pelajar cemerlang sekolah agama dihargai

Pelajar cemerlang sekolah agama dihargai

pg12_150504_d

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Seramai 21 murid sekolah agama menerima sijil serta hadiah murid cemerlang dalam Majlis Penghargaan Murid Cemerlang Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 2014 di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Putri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut baru-baru ini.

Hadir menyampaikan sijil dan hadiah ialah Ketua Bahagian Kenaziran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Hasbi bin Haji Mohd Suhaily.

Murid-murid yang diraikan merupakan mereka yang mendapat pangkat 1 bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama tahun lalu. Dayang Shahreen binti Shahminan dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Putri Amal Umi Kalthum Al-Islam meraih pelajar cemerlang keseluruhan bagi peringkat kawasan Brunei IV.

Tetamu kehormat ketika berucap dalam majlis itu menyatakan bahawa peranan dan tanggungjawab ibu bapa dan penjaga semakin berat bagi memastikan dan memantau aktiviti-aktiviti yang dilakukan anak-anak di rumah mahu pun di luar rumah agar pengaruh negatif dalam pembentukan sahsiah anak-anak sentiasa terjaga.

Beliau juga menyeru guru-guru sentiasa mengintegrasikan pendidikan Islam dalam segala proses pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan holistik. Ini bertujuan agar murid dapat merealisasikan pengajaran guru dan menghayatinya serta mempraktikkannya dengan lebih baik. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei IV, Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Haji Metahir.

ARTIKEL YANG SAMA