Pelajar cemerlang SR Ahmad Tajuddin dirai

Pelajar cemerlang SR Ahmad Tajuddin dirai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Nov – Sekolah Rendah (SR) Ahmad Tajuddin, semalam, telah meraikan pelajar-pelajar cemerlang dalam Majlis Penyampaian Hadiah Akademik Bagi Tahun 1 hingga Tahun 5 sesi 2016.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah akademik cemerlang ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Hajah Badriah binti Haji Saidin.

Hadir sama ialah Guru Besar SR Ahmad Tajuddin, Hajah Mariah binti Abdullah.

Semasa menyampaikan ucapan, Guru Kanan Akademik, Dayang Irene Betty Anak Lanting merangkap Pengerusi Majlis memberitahu, pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pencapaian akademik murid-murid di sepanjang tahun 2016 telah dilakukan oleh pihak sekolah, termasuklah mengadakan Program Intervensi Bacaan Off To Great With Reading dan Program CERLIT.

Program-program tersebut, jelasnya telah memberikan fokus utama kepada murid-murid yang kurang fasih dan mempunyai masalah dengan bacaan, sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan juga telah memperkenalkan standard numerasi dan literasi kepada murid-murid rendah bawah dan program-program berkenaan diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kompetensi murid-murid di dalam numerasi dan literasi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa di samping harapan mendapat kecemerlangan dalam bidang akademik, ia perlu juga diimbangi untuk cemerlang dalam kegiatan luar atau aktiviti kurikulum tambahan (ECA) serta bidang-bidang lainnya.

“Alhamdulillah di sepanjang tahun 2016, sekolah ini telah memperolehi dan meraih beberapa kemenangan yang membanggakan, di samping penglibatan murid dalam sebarang pertandingan juga sangat menggalakkan.

“Semua perubahan positif berkenaan tidak akan dapat terlaksana jika tidak ada sokongan padu daripada semua pihak, iaitu guru-guru yang komited, selain kerjasama daripada ibu bapa murid yang tinggi terhadap sekolah, terutama sekali dalam memeduli pembelajaran anak-anak mereka,” katanya.

Beliau dalam ucapannya juga berseru supaya murid-murid di sekolah tersebut tidak akan mensia-siakan usaha gigih yang diberikan oleh guru-guru dan ibu bapa mereka dan perlu mengambil peluang dengan belajar lebih bersungguh-sungguh.

Di samping itu, mereka juga diseru supaya sentiasa menumpukan perhatian kepada pelajaran dan bijak menggunakan waktu sebaik mungkin, serta tidak ketinggalan untuk terus menanamkan sikap yakin diri dalam mengharungi perjuangan dunia pendidikan yang sangat mencabar ini.

Majlis telah menyaksikan penyampaian hadiah cemerlang akademik serta sijil-sijil kepujian melalui beberapa kategori antaranya Hadiah Cemerlang Akademik Rendah Bawah dan Rendah Atas,  sijil penghargaan bagi murid yang mencapai kedatangan terbaik, hadiah penghargaan bagi murid pendidikan khas, sijil penghargaan bagi murid yang meminjam buku perpustakaan, Hadiah Galakan Ko-Kurikulum, Hadiah Galakan bagi lima orang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Hadiah Penghargaan bagi seorang PIBG, kepada Dayang Siti Hadizah binti Haji Suhaili.

Majlis telah diserikan lagi dengan beberapa persembahan oleh murid-murid sekolah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA