Pelajar cemerlang SR YSHHB dirai

Pelajar cemerlang SR YSHHB dirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), hari ini, telah meraikan murid-murid yang mendapat markah cemerlang sepanjang tahun pembelajaran bagi tahun 2016 dalam majlis penyampaian hadiah dan sijil di Dewan Serba Guna Sekolah YSHHB.

Turut menerima hadiah dan sijil pelajar cemerlang ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah iaitu Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah binti Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin dan cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna iaitu Pengiran Nur Aabidah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar.

Di majlis itu, Pengiran Qaiyyimah Nurul Bolkiah juga menerima hadiah Gold Medalist International Youth Awards Children’s Handwriting Competition 2016 dan juga sebagai murid terbaik SR YSHHB.

Seramai 110 orang murid Tahun 1 hingga 4 menerima hadiah dan sijil di majlis itu atas kecemerlangan mereka dalam pembelajaran di kelas masing-masing. Pada masa ini, jumlah murid yang belajar di peringkat sekolah rendah adalah lebih kurang 1,000 orang dan jumlah tenaga pengajar pula seramai 70 orang.

Pemangku Pengetua SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali semasa ditemui berkata, majlis berkenaan berperanan sebagai wadah untuk memberikan penghargaan kepada semua murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan bukan akademik serta sikap dan sahsiah mereka.

Pengiran Nur Aabidah Syifa ketika menerima hadiah.
Pengiran Nur Aabidah Syifa ketika menerima hadiah.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah ketika menerima hadiah.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah ketika menerima hadiah.

Selain itu, majlis ini juga diharapkan untuk menggalakkan mereka supaya berdaya saing dan sentiasa berfikiran positif ke arah kejayaan.

Dengan adanya penghargaan ini, tambah beliau, sekali gus dapat melihat bakat dan kemampuan para murid yang sudah menyerlah sejak muda lagi serta menjadi titik tolak untuk terus digilap dan dikembangkan ke tahap yang lebih cemerlang.

Di kesempatan itu, beliau selaku wakil pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua terutamanya para ibu bapa yang juga memainkan peranan sangat penting dalam membimbing dan mendidik anak-anak mereka.

Beliau juga melahirkan perasaan amat bangga dengan adanya komitmen ibu bapa dalam sama-sama menggembleng tenaga membantu pihak sekolah dalam usaha untuk memajukan pengajaran dan pembelajaran anak-anak mereka.

Menyentuh mengenai penglibatan sekolah dalam kegiatan akademik dan kokurikulum pada tahun ini, beliau berkata, pihak sekolah telah menjadi tuan rumah dalam pertandingan menghafaz ayat-ayat lazim senegara dan murid Sekolah YSHHB telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan berkenaan.

Tidak ketinggalan juga, kelab bola sepak sekolah juga bergiat aktif dan menunjukkan prestasi yang sangat baik apabila berjaya menjadi naib juara dalam Pertandingan Bola Sepak Sekolah-sekolah Brunei IIA. Pasukan badminton pula telah menjuarai pertandingan badminton dalam kategori pemain perseorangan lelaki antara sekolah-sekolah rendah kerajaan dan pendidikan swasta Zon IIA.

Mengenai penglibatan antarabangsa pula, beliau berkata, seorang murid SR YSHHB telah terpilih mewakili sekolah dalam International Mathematic Science Olympiad ke-13 di Indonesia di bawah Program STEP dengan mendapat pingat gangsa.

Pada tahun ini juga, SR YSHHB telah memenangi anugerah International Youth Award Children’s Handwriting Competition in Chinese Language yang telah disertai sekolah berkenaan sejak tahun 2012.

Dalam pertandingan itu, enam orang murid meraih pingat emas, 12 pingat perak dan 15 pingat gangsa. Dengan itu juga, SR YSHHB telah mendapat Anugerah Cemerlang daripada pihak penganjur, tambah beliau.

Majlis penyampaian hadiah dan sijil berkenaan juga telah dimeriahkan dengan persembahan daripada murid-murid sekolah berkenaan, antaranya persembahan nyanyian ‘A Beautiful Day Song’ oleh murid Tahun 1, nasyid bertajuk ‘Ampun Ya Allah’ oleh ahli-ahli Kelab Nasyid, tarian Dikir Puteri oleh ahli-ahli Kelab Tarian, nyanyian ‘Mam’ oleh ahli-ahli Kelab Koir dan bicara berirama bertajuk ‘Kejayaan’.

ARTIKEL YANG SAMA