Pelajar cemerlang SU YSHHB terima sijil

Pelajar cemerlang SU YSHHB terima sijil

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SU YSHHB), hari ini telah mengadakan Majlis Penyam-paian Sijil bagi Peperiksaan Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSRU) Darjah 6 Tahun 1436H/2015M serta Penerima Hadiah Cemerlang Peperiksaan Akhir Tahun 1438H/2016M yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut.

Antara penerima sijil Peperiksaan SSRU Darjah 6 tahun 1436H/2015M ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib bin Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Juga berangkat menyaksikan majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hariisah Widadul Bolqiah binti Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah serta suami, Pengiran Haji Muhammad Hakimuddin bin Pengiran Haji Hashim.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hariisah Widadul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah serta suami, Pengiran Haji Muhammad Hakimuddin berangkat ke majlis itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hariisah Widadul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah serta suami, Pengiran Haji Muhammad Hakimuddin berangkat ke majlis itu.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib semasa menerima sijil.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib semasa menerima sijil.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah semasa menerima hadiah.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah semasa menerima hadiah.

Di majlis itu, seramai 52 orang murid Darjah 6 yang telah lulus dalam Peperiksaan SSRU Darjah 6 Tahun 1436H/2015M, dengan 36 orang daripadanya menerima sijil lulus pangkat 1 dan selebihnya, 12 orang murid mendapat sijil lulus pangkat 2 dan empat orang murid mendapat sijil lulus pangkat 3.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada seramai 87 orang murid cemerlang yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam peperiksaan akhir tahun 1438H/2016M sekolah itu dan turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada seramai 26 orang murid yang telah lulus dalam peperiksaan calon pemilihan ke sekolah Arab bagi tahun 1437H/2016M.

Cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah binti Pengiran Haji Mohammad Hakimuddin juga merupakan calon lulus yang telah mendapat kedudukan 10 teratas terbaik di antara keseluruhan calon-calon yang lulus.

Juga menerima hadiah ialah tujuh orang murid yang cemerlang dalam setiap peringkat Darjah Pra dan 1 hingga 6 yang mana seorang murid menerima hadiah murid teladan tahun 1438H/2016M dan seorang murid menerima hadiah cemerlang dalam Peperiksaan SSRU tahun 1436H/2015M.

Guru Besar SU YSHHB, Awang Azmerul bin Haji Haris dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini merupakan tanda penghargaan daripada sekolah itu khususnya kepada murid-murid yang cemerlang dalam Peperiksaan SSRU dan Peperiksaan Akhir Tahun bagi tahun 2016.

ARTIKEL YANG SAMA