Pelajar CG kongsi pengetahuan

Pelajar CG kongsi pengetahuan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Seramai 15 orang daripada 50 pemohon, kini sedang menjalani Program Profesional Grafik Komputer di Akademik Grafik Komputer (CG) yang berlangsung selama sembilan bulan bermula Julai lalu.

Akademi CG dalam reka bentuk seni bina berkenaan dikendalikan oleh Sesame World Technology untuk melatih penduduk tempatan sebahagian daripada usaha pemindahan teknologi ke Brunei.

Wartawan Media Permata, hari ini, berpeluang untuk menemu bual beberapa orang pelajar program berkenaan dalam sesi temu bual yang berlangsung di Tingkat 5 Pejabat Sesame World Technology, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Angerek Desa, di sini.

Salah seorang daripadanya ialah Eddy Yong Tek Wei, yang mengongsikan bagaimana beliau mula menceburi bidang CG.

Katanya, beliau meminati seni ketika masih muda lagi, “Malangnya pada masa itu, pengetahuan saya dalam bidang seni adalah sangat terhad. Saya fikir artis hanya cat pada kanvas atau melukis komik dengan pensel mereka.

Pengurus Digital Media Development, Industry Development Group, AITI, Haji Hadi Iskandar bin Dato Paduka Haji Mohammad (dua, kiri) dan Pengurus Operasi Sesame World Technology, Alex How (dua, kanan) juga hadir di sesi temu bual tersebut.
Pengurus Digital Media Development, Industry Development Group, AITI, Haji Hadi Iskandar bin Dato Paduka Haji Mohammad (dua, kiri) dan Pengurus Operasi Sesame World Technology, Alex How (dua, kanan) juga hadir di sesi temu bual tersebut.
Awang Bazrul Fadli bersama dua pelajar program CG ketika ditemu bual.
Awang Bazrul Fadli bersama dua pelajar program CG ketika ditemu bual.

“Hanya sedikit saya tahu bahawa seni juga boleh bercabang keluar ke dunia digital seperti reka bentuk grafik, reka bentuk web, grafik 3D, reka bentuk permainan, dan banyak lagi.”

Menurutnya lagi, beliau ‘ketagih’ dengan CG selepas mendapat kerja dalam bidang reka bentuk grafik tahun lalu.

“CG bagi saya adalah satu bentuk seni juga kerana ia melibatkan ungkapan perasaan dalaman anda. Seorang pelukis tradisional ‘mengekspresikan diri’ pada kanvas dengan berus minyak tetapi saya menyatakan diri saya dengan alat tetikus dan monitor komputer.

“Ia adalah konsep yang sama. Untuk seorang artis, ekspresi diri adalah sama penting dengan bernafas oksigen,” ujarnya.

Manakala itu, bagi Awang Bazrul Fadli bin Baharin yang sebelum ini pernah mengambil HND dalam bidang Internet dan Multimedia di Institut Teknologi Brunei pada 2012, memberitahu minat CG timbul semasa membuat penempatan kerja di Ambuyart Animasi.

“Dengan mereka, saya belajar banyak perkara asas seperti ‘modelling’, ‘texturing’, ‘rendering’ dan animasi menggunakan Autodesk Maya. Selepas saya menjalani internship, saya sudah memutuskan komputer grafik 3D sebagai kerjaya masa depan saya,” ujarnya, sambil menambah hobi menonton animasi jepun, filem animasi 3D dan filem dengan kesan CG juga merupakan sebab-sebab beliau meminati bidang itu.

Bagi Dayang Hadizah binti A. Hamzah, yang merupakan bekas pekerja dalam industri minyak dan gas sebagai seorang jurutera selama hampir tiga tahun sebelum menyertai program berkenaan, minatnya datang apabila mula-mula mendengarnya.

“Ia bukan satu keputusan yang mudah tetapi pada akhirnya, saya mengambil peluang untuk menceburi bidang lain. Saya mahu meneruskan kerjaya yang saya idamkan sebab saya memang berminat dalam seni dan aspek-aspek kreatif kehidupan.”

Dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Reka Bentuk Seni Bina dan Teknologi serta kemahiran CG yang baru diperolehi, Dayang Hadizah berhasrat untuk mencapai kerjaya yang cerah dan memuaskan.

Program CG itu dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Brunei (AITI) dan disokong oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan dibiayai di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 untuk Program Pembangunan Kapasiti Manusia.

Kursus berkenaan akan berakhir pada April 2016 namun pihak-pihak yang berminat boleh berurusan dengan para pelajar semasa pengajian mereka.

Dalam pada itu, Sesame World Technology turut memaklumkan bahawa mereka mengadakan Pameran CG, ‘The First Build’ pada 28 hingga 30 Januari ini di pejabat mereka, dengan objektif untuk mempamerkan kerja CG pelajar-pelajar akademi sebagai galakan dan membina keyakinan pelajar.

Pameran akan dibukakan kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, kecuali 29 Januari yang dibuka selepas pukul 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA