Pelajar dalami teknologi

Pelajar dalami teknologi

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar Oleh AITI Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Seramai 40 orang pelajar dari 10 buah sekolah rendah di seluruh negara telah mendalami pembelajaran teknologi yang relevan melalui ‘Projek Tech’ dalam Perkhemahan Tech Kids 2016 yang diadakan selama lima hari, baru-baru ini.

Perkhemahan tersebut dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Pusat Perkongsian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan, Women Techmakers yang dikuasakan oleh Google Developers Group Brunei (GDG) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Acara yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, AITI itu bertujuan untuk menawarkan para pelajar pengalaman tersendiri dalam mata pelajaran yang berkaitan dengan program komputer, sambil menyediakan alat untuk menyelesaikan masalah, mencipta, bekerja dalam kumpulan dan menggunakan kemahiran pemikiran kritikal.

Semasa perkhemahan dijalankan, pelajar-pelajar Tahun 4 dan 5 bekerjasama dalam satu kumpulan untuk membangunkan permainan berpendidikan menggunakan program komputer mudah yang dipanggil sebagai ‘Scratch’.

Selain itu, para pelajar dapat mengenali kepentingan pembelajaran di bawah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menyalurkan projek dalam bentuk permainan berpendidikan mengikut tema STEM.

Sesi bergambar ramai bersama para peserta.
Sesi bergambar ramai bersama para peserta.
Tempat ketiga dari Sekolah Seri Mulia Sarjana.
Tempat ketiga dari Sekolah Seri Mulia Sarjana.

Setelah projek mereka selesai, isi kandungan program teknikal menggunakan Scratch itu telah dimudahkan lagi oleh Jennifer Voon dari Sekolah Pengkomputeran dan Infomatik, UTB.

Perkhemahan Tech Kids diakhiri dengan sesi pembentangan projek mereka kepada ahli panel hakim.

Kumpulan dari Sekolah St George muncul sebagai juara, diikuti kumpulan Sekolah Rendah Tungku di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Sekolah Seri Mulia Sarjana.

Kumpulan Sekolah St George turut memenangi anugerah istimewa setelah menarik perhatian hakim dalam menyampaikan penerangan projek dan Projek ICT terbaik. Manakala itu, Sekolah Rendah Tungku dan Dayang Norhanani bin Haji Mohd Yusof, iaitu guru dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima anugerah sebagai mentor terbaik.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Perkhemahan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah program ‘Discover and Excite’ yang dikenal pasti dalam pelan Induk Tenaga Kerja ICT Negara yang dilancarkan baru-baru ini oleh Menteri Perhubungan.

Ia bertujuan untuk membolehkan para belia dan pelajar muda mendapatkan pengalaman ICT secara menyeronokkan.

AITI melahirkan harapan agar inisiatif ini akan merangsang minat para pelajar dalam meneroka kreativiti mereka melalui penggunaan ICT.

ARTIKEL YANG SAMA