Pelajar didedah kenali ASEAN

Pelajar didedah kenali ASEAN

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sebagai usaha meningkatkan pengetahuan para pelajar sekolah terhadap Komuniti ASEAN, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI, telah mengadakan sesi taklimat mengenali ASEAN di Dewan Serba Guna, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar. Turut hadir ialah Pengetua Maktab SOAS, Awang Zamain bin Abdul.

Taklimat bersempena dengan Jerayawara Kenali ASEAN yang dihadiri seramai 400 orang pelajar Tahun 7 dan 8 maktab tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat dengan lebih meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini.

Ini kerana, mereka merupakan golongan belia yang berperanan penting untuk menjadi pemangkin hala tuju negara dalam mewarnai corak peradaban bangsa bagi membentuk generasi pelapis.

Dayang Hajah Noorashidah (dua dari kanan) dan Awang Zamain ketika menghadiri majlis tersebut.
Dayang Hajah Noorashidah (dua dari kanan) dan Awang Zamain ketika menghadiri majlis tersebut.
Antara pelajar maktab tersebut yang hadir.
Antara pelajar maktab tersebut yang hadir.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah mengenai ASEAN, mengenal pasti sejauh mana para pelajar mengetahui mengenainya, menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti dan Satu Komuniti.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Awang Abdul Karim bin Hamdan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, taklimat juga mengetengahkan maklumat mengenai Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Pengetahuan ini wajar diketahui oleh para penuntut bagi meningkatkan kesedaran tentang perkembangan negara di mata serantau dan menjadi pencetus semangat bagi mereka agar berusaha lebih gigih untuk memajukan tanah air demi merealisasikan Wawasan 2035.

Semasa taklimat tersebut, para pelajar turut diberi peluang untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh penyampai di mana seramai 10 orang pelajar yang berjaya menjawab soalan dengan tepat telah diberikan cenderahati yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan para penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut sekolah di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA