Pelajar diseru dekatkan diri dengan Al-Quran

Pelajar diseru dekatkan diri dengan Al-Quran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Ishan Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri masing-masing menjuarai kategori qari dan qariah dalam Pertandingan Tilawatil Quran antara Sekolah-Sekolah dan Maktab-maktab Senegara yang berlangsung di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri, kelmarin.

Awang Abdul Muin dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah mendahului kategori qari dengan menewaskan Awangku Mohd Ammarrul Amsyar bin Pengiran Haji Marjuki selaku tuan rumah di tempat kedua dan Awang Masrur Fu’ad bin Haji Asmat dari Sekolah Sukan di tempat ketiga.

Bagi kategori qariah pula, Dayangku Alma Hazirah dari Sekolah Menengah Berakas mendahului Dayang Siti Khairun Nadhirah binti Ahmad dari Sekolah Menengah Sayyidina Othman dan peserta tuan rumah Dayang Elvi Hanisah binti Tarsat masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Penyampaian sijil kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid selaku tetamu kehormat.

Tetamu kehormat bergambar bersama johan qari (2 kiri) Pertandingan Tilawatil Quran.
Tetamu kehormat bergambar bersama johan qari (2 kiri) Pertandingan Tilawatil Quran.
Johan qariah berkesempatan bergambar bersama tetamu kehormat.
Johan qariah berkesempatan bergambar bersama tetamu kehormat.

Seramai 10 peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di peringkat akhir berkenaan, yang juga termasuk dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pusat Tingkatan Enam Maragang.

Pertandingan tahunan anjuran Unit Pendidikan Kokurikulum ini bertujuan untuk menjadi aspirasi kepada para pelajar untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran Al-Karim dan menyahut baik seruan supaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA