Pelajar diser...

Pelajar diseru gunakan peluang sebaiknya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Pelajar-pelajar baru Tahun 7 yang berjaya memasuki Sekolah Menengah Berakas diseru untuk mengambil peluang baik yang diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka memperolehi kejayaan dan kecemerlangan di sekolah berkenaan bukan sahaja daripada segi pencapaian akademik tetapi juga daripada segi kokurikulum dan sahsiah diri mereka.

Di samping itu juga, mereka sudah melangkah ke alam persekolahan peringkat menengah yang amat berbeza daripada alam persekolahan peringkat rendah di mana sudah tiba masanya bagi mereka untuk lebih berdikari dalam pembelajaran mereka serta meningkatkan kemahiran masing-masing.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Awang Abdullah bin Awang Ismail ketika menyampaikan kata alu-aluan semasa Taklimat Bagi Sesi Persekolahan Pelajar-Pelajar Tahun 7 yang berlangsung di Dewan Anggerek, Sekolah Menengah Berakas, hari ini.

Beliau menambah bahawa semasa berada di alam persekolahan peringkat menengah, mereka akan berpeluang untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran sosial, berfikir dan berkomunikasi mereka.

Pada masa yang sama, mereka juga akan menempuh pelbagai cabaran semasa berada di sekolah menengah tetapi mereka harus menjadi lebih bertanggungjawab dan berdisiplin supaya akan terus berusaha untuk mencapai cita-cita mereka.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua SM Berakas, Johnny Lim.
Sesi taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua SM Berakas, Johnny Lim.
Di antara pelajar-pelajar baru Tahun 7 Sekolah Menengah Berakas yang memulakan pembelajaran mereka di peringkat menengah.
Di antara pelajar-pelajar baru Tahun 7 Sekolah Menengah Berakas yang memulakan pembelajaran mereka di peringkat menengah.
Di antara ibu bapa dan penjaga yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.
Di antara ibu bapa dan penjaga yang menghadiri sesi taklimat berkenaan.

Beliau turut menyeru para pelajar untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dalam sekolah daripada segi akademik mahupun kokurikulum supaya apabila mereka meninggalkan bangku sekolah nanti, mereka tidak akan mempunyai sebarang sesalan.

“Pelajaran adalah harta yang paling berharga untuk masa depan anda,” tekan Awang Abdullah lagi di majlis berkenaan.

Di samping itu, beliau turut menyatakan harapan supaya para ibu bapa dan penjaga para pelajar untuk kekal aktif dalam memantau pendidikan anak-anak mereka. Beliau juga berharap mereka mampu untuk meluangkan sedikit masa bersama anak-anak mereka setiap hari untuk mengetahui dan memeduli mengenai perihal persekolahan serta masalah anak-anak mereka kerana masa yang diluangkan itu adalah amat bermanfaat bagi anak-anak mereka.

Di majlis berkenaan, seramai 243 orang pelajar telah mendaftar untuk memasuki dan memulakan pembelajaran Tahun 7 mereka di Sekolah Menengah Berakas.

Selain daripada menghadiri sesi taklimat pentadbiran dan akademik sekolah, para pelajar juga diperkenalkan kepada pelbagai mata pelajaran di sekolah berkenaan serta membiasakan diri mereka kepada sekolah itu semasa sesi orientasi selama dua hari hingga esok.