Pelajar diseru kuasai Bahasa Arab, lengkapi diri mahir ICT

Pelajar diseru kuasai Bahasa Arab, lengkapi diri mahir ICT

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Nov – Pelajar-pelajar Sekolah Arab, tidak terkecuali pelajar di Ma’had Islam Brunei merupakan pelajar yang beruntung dan bertuah kerana berpeluang menuntut dan menerokai pelbagai bidang disiplin ilmu.

Pembelajaran di sekolah-sekolah Arab tidak hanya terhad dalam bidang agama dan Bahasa Arab sahaja, malah berpeluang mempelajari bidang umum, dan sistem pembelajaran yang diguna pakai telah terbukti mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua bidang iaitu agama dan umum atau dengan kata lain pelajar-pelajar dapat mendalami ilmu duniawi dan ukhrawi.

Sehubungan itu, Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam, Hajah Rusita binti Haji Yahya menyeru para pelajar supaya terus meningkatkan usaha dan kesungguhan untuk menguasai kemahiran berbahasa Arab kerana ia adalah kunci utama untuk memahami dan mendalami bidang keagamaan dan sebagai bidang yang menjadi keutamaan bagi pelajar-pelajar kerana rujukan asas bidang berkenaan adalah dalam Bahasa Arab.

“Pelajar-pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran ICT kerana secara tidak langsung dapat membantu mengembangkan syiar Islam itu sendiri,” tambah beliau semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik dan Cemerlang Sekolah Arab Belait bagi Tahun 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait, hari ini.

Penyampaian Anugerah Guru Harapan dan Tauladan kepada salah seorang guru Sekolah Arab Belait.
Penyampaian Anugerah Guru Harapan dan Tauladan kepada salah seorang guru Sekolah Arab Belait.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Dayang Anis Hazira.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Dayang Anis Hazira.
Tetamu kehormat menyampaikan anugerah kepada Awang Mohd Mu’iz Hafzam.
Tetamu kehormat menyampaikan anugerah kepada Awang Mohd Mu’iz Hafzam.

Majlis hari ini menyaksikan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar terbaik dalam kelas, kedatangan terbaik, hadiah galakan, serta penyampaian hadiah pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Kemajuan Pelajar bagi Tahun 8 kepada seramai enam orang.

Hadiah-hadiah lain termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik kepada Dayang Hani Najehah binti Abu Bakar pelajar Tahun 5 Akhdar, Anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum kepada Awang Mohd Mu’iz Hafzam bin Mazlan dari Tahun 6 Wardi, Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik dan Kokurikulum kepada Dayang Anis Hazira binti Mohd Azmi daripada Tahun 8 Bunni serta Anugerah Guru Harapan dan Tauladan kepada guru terpilih.

Guru Besar Sekolah Arab Belait selaku pengerusi majlis, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, majlis tersebut antara lain bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar supaya akan lebih berusaha dengan tekun dan gigih bagi mendapatkan keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan mahupun dalam pembelajaran seharian serta bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Selain itu, ia adalah bagi memberikan satu penghargaan kepada guru-guru yang telah banyak membantu pihak sekolah dalam memajukan pelajar-pelajar dari segi pembelajaran mahupun kokurikulum serta dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan tafsirnya, serta telah diceriakan lagi dengan beberapa persembahan nasyid dan tausyeh oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA