Pelajar diseru sentiasa bersyukur

Pelajar diseru sentiasa bersyukur

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Mac – Pelajar-pelajar diseru supaya sentiasa rasa bersyukur dan beruntung kerana menjadi rakyat di Negara Brunei Darussalam yang aman dan makmur serta banyak memberikan kemudahan terutama dalam hal ehwal pendidikan.

Dalam hal ini, Pengerusi Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun 2016 bagi Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria, Awang Ruzain Rizman bin Abdullah turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Emas Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien pada 7 Mac 2002.

Titah Baginda antara lain menekankan bahawa pelajar adalah aset negara yang paling mahal, oleh sebab itulah, kerajaan akan terus memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan seberapa yang tinggi tanpa mengira sama ada ia di perolehi di dalam mahupun di luar negara.

Awang Ruzain Rizman berkata, daripada titah itu, dapat dilihat betapa prihatinnya Baginda dalam menitikberatkan pendidikan, untuk itu, katanya lagi, sebagai warga sekolah terutamanya murid-murid mestilah berusaha lebih gigih dalam menimba ilmu melalui kemudahan yang telah disediakan.

“Pengajaran dan pembelajaran menjadi proses yang mudah kerana terdapatnya kemudahan-kemudahan yang disediakan dan prasarana yang sangat kondusif, bagaimanapun, walaupun dengan banyak kemudahan yang telah disediakan, kita semua sebagai generasi berwawasan seharusnya tidak leka dan sambil lewa kerana banyak cabaran yang perlu di tangani dan diselesaikan dengan bijak,” katanya lagi.

Barisan membentuk ‘HK 32’ oleh murid-murid sekolah dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria.
Barisan membentuk ‘HK 32’ oleh murid-murid sekolah dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria.

Majlis sambutan di sekolah rendah berkenaan antara lain adalah untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid-murid dan warga sekolah, selain untuk memupuk semangat cintakan negara dan juga untuk memupuk semangat kerjasama dan bersatu padu di antara murid-murid dan warga sekolah.

Atur cara majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ beramai-ramai, disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan pengerusi majlis tersebut.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan koir lagu patriotik dan perbarisan membentuk abjad HK 32 yang melambangkan ulang tahun Hari Kebangsaan tahun ini, seterusnya beberapa acara lain turut diadakan termasuk aktiviti mewarna dan sebagainya.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang aktiviti mewarna telah disempurnakan oleh Guru Besar sekolah, Haji Johari bin Haji Abas yang terlibat sama menyertai majlis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA