Pelajar diseru tingkat kemahiran

Pelajar diseru tingkat kemahiran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Sebelum memulakan pengajian di sekolah menengah, lebih 250 orang pelajar baru Tahun 7 Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan Anggerek, sekolah berkenaan.

Majlis pagi tadi itu turut dihadiri oleh para ibu bapa pelajar serta guru-guru sekolah berkenaan.

Pengetua SMB, Awang Abdullah bin Ismail dalam ucapannya menjelaskan, persekolahan di sekolah menengah amat berbeza dengan di sekolah rendah dan para pelajar diseru agar pandai berdikari tentang pembelajaran mereka.

“Banyak kemahiran yang akan dipelajari di sekolah menengah selain mempelajari ilmu mata pelajaran masing-masing. Pelajar juga berpeluang untuk mempelajari kemahiran bersosial, berkomunikasi, berfikir dan banyak lagi,” jelasnya.

Di samping kemahiran-kemahiran ini, para pelajar juga akan menghadapi pelbagai cabaran dan haruslah bersifat bertanggungjawab terhadap pelajaran, disiplin dan pergaulan mereka.

Pelajar-pelajar baru Tahun 7 yang menghadiri taklimat bagi sesi persekolahan.
Pelajar-pelajar baru Tahun 7 yang menghadiri taklimat bagi sesi persekolahan.
Pengetua Sekolah Menengah Berakas ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengetua Sekolah Menengah Berakas ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Para ibu bapa pelajar yang menghadiri taklimat di sekolah berkenaan.
Para ibu bapa pelajar yang menghadiri taklimat di sekolah berkenaan.

“Jika pelajar mempunyai sifat tanggunjawab terhadap diri sendiri, Insya Allah kamu semua akan berjaya dan dapat mencapai cita-cita masing-masing. Kehadiran yang baik dan tingkah laku yang betul adalah wajib dalam suasana persekolahan.”

Beliau turut menggalakkan para ibu bapa dan penjaga pelajar untuk kekal aktif dalam pendidikan anak-anak mereka.

Menurut beliau lagi, adalah menjadi harapan pihak sekolah agar pelajar bersiap sedia untuk belajar, ibu bapa pula harus memberikan sokongan yang padu dan berminat dengan pendidikan anak mereka.

Selain itu, para guru juga diseru agar meneruskan komitmen dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk para pelajar.

Aturcara majlis diteruskan lagi dengan taklimat pertama yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Johnny Lim yang antara lain menyentuh mengenai waktu persekolahan, tempat-tempat penurunan penuntut, perkumpulan pagi dan kehadiran harian.

Taklimat seterusnya disampaikan oleh Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Zaliha binti Metussin.

Para pelajar juga mendengarkan taklimat-taklimat mengenai Aktiviti Ko-Kurikulam (CCA), kaunseling dan Hal Ehwal Pelajar (HEP).

ARTIKEL YANG SAMA