Pelajar diseru utama kesihatan, keselamatan

Pelajar diseru utama kesihatan, keselamatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 17 Feb – Bagi berkongsi pengetahuan dan kefahaman mengenai kesihatan dan keselamatan dalam kalangan para pelajar, Syarikat Amarco telah menganjurkan kempen berkenaan yang pertama kalinya diadakan, baru-baru ini.

Kempen yang dihadiri oleh kira-kira 80 pelajar Darjah 4 hingga 6, Sekolah Ugama Perdana Wazir telah diadakan di surau sekolah tersebut, dengan memperdengarkan taklimat kesihatan dan keselamatan bertajuk ‘Kekalkan Kebersihan dan Keselamatan’.

Pengurus Am syarikat itu, Martono Napitupulu ketika ditemui Media Permata, memberitahu, kempen yang menekankan pentingnya kesihatan dan keselamatan dalam kehidupan akan terus diadakan di sekolah-sekolah lain di Daerah Belait, dan dijangka diadakan paling minima sebulan sekali dan akan diusahakan untuk lebih daripada itu.

Martono Napitupulu menjelaskan lagi, kesihatan dan keselamatan perlu didedahkan kepada para pelajar, seperti dari segi kesihatan, para pelajar perlu mengamalkan cara hidup yang sihat dan lebih baik bagi kesempurnaan hidup mereka.

Para pelajar Sekolah Ugama Perdana Wazir yang hadir mendengarkan Taklimat Kempen Kesihatan dan Keselamatan anjuran Syarikat Amarco.
Para pelajar Sekolah Ugama Perdana Wazir yang hadir mendengarkan Taklimat Kempen Kesihatan dan Keselamatan anjuran Syarikat Amarco.

Taklimat beliau kemudian disusuli dengan taklimat daripada pegawai-pegawai lain syarikat itu yang menerangkan mengenai keselamatan yang berkaitan dengan kehidupan umum, menerangkan apa erti sebenar keselamatan dan kesihatan dan apa hubungannya dengan para pelajar dan sebagainya.

Acara yang turut dihadiri guru besar sekolah dan guru-guru serta beberapa pegawai sekolah berkenaan telah diakhiri dengan sesi kuiz, yang bertujuan untuk mengenal pasti bahawa pelajar benar-benar memahami setiap taklimat yang disampaikan.