Pelajar harumkan nama SR Bukit Udal

Pelajar harumkan nama SR Bukit Udal

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 15 Mei – Muhammad Asfa Radhi bin Abdullah dan Dayang Nur Asilah Asyiqin binti Saldi Sofian yang kedua-duanya dari Sekolah Rendah (SR) Bukit Udal, Tutong, masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan perempuan dalam Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta Kawasan Tutong II kali ke-27.

Pertandingan yang berlangsung di SR Perpindahan Kampung Bukit Beruang II, Tutong, kelmarin itu disertai oleh seramai 20 orang peserta dari 10 buah sekolah rendah iaitu 10 peserta lelaki dan 10 peserta perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan ialah Pegawai Pelajaran dan Pegawai Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Omar Ali bin Haji Mohd Tahir.

Bagi kategori lelaki, naib juara disandang oleh Mohammad Haziq Ikhwan bin Hirmaa dari SR Danau, Tutong dan Ahmad Khairi bin Mohammad dari SR Perpindahan Kampung Bukit Beruang II, Tutong berada di tempat ketiga.

Juara kategori lelaki dan perempuan bergambar ramai bersama guru pengawas.
Juara kategori lelaki dan perempuan bergambar ramai bersama guru pengawas.

Bagi kategori perempuan, naib juara disandang oleh Dayang Wafiqotul Amni binti Shahril Fauzi dari SR Danau, Tutong dan tempat ketiga ialah Dayang Amira Jazilah binti Azlan dari SR Perpindahan Kampung Bukit Beruang II, Tutong.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong itu bermatlamat melibatkan penyertaan murid-murid dalam kegiatan yang bercorak keagamaan di samping mengasuh bakat dan kebolehan mereka di bidang pembacaan menghafaz ayat-ayat lazim.

Selain itu, ia juga untuk mendidik murid-murid dengan menanamkan semangat cintakan Al-Quran ketika mereka masih di alam persekolahan serta menjadikan membaca Al-Quran sebagai suatu amalan yang wajib diutamakan kepada murid-murid di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA