Pelajar hilang di Sibu ditemukan dalam masjid

Pelajar hilang di Sibu ditemukan dalam masjid

SIBU, 5 Okt – Gerak hati Shafie Adil, 85, untuk mencari cucunya di dalam masjid berjaya menemukan Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, yang dilapor hilang selepas keluar dari rumah sewanya di Taman Permai di sini Isnin lalu.

Pesara Keretapi Tanah Melayu dari Ipoh, Perak ini yang datang ke sini semalam setelah mendapat berita tentang kehilangan cucunya itu, menemukan cucunya di dalam Masjid An Nur di sini pada 2 petang tadi.

Pelajar tahun akhir jurusan perubatan ini yang sedang menjalankan latihan di Hospital Sibu ditemukan sedang membaca Al-Quran.

Kariah masjid dan petugas Pusat Aktiviti Warga Emas Masjid An Nur itu yang pernah melihat kelibat seseorang tidur masjid itu semalam telah membawa Shafie ke dalam masjid di mana Fatimatuzzahrah ditemukan.

Saat ditemukan itu, pelajar tersebut enggan bercakap tetapi dalam keadaan menangis. Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Martin Khoo mengesahkan Fatimatuzzahrah berada dalam keadaan selamat, cuma didapati terlalu tertekan dengan peperiksaan yang sedang dihadapinya.

Bumidin Tahir, 51, menunjukkan gambar anaknya Siti Fatimatuzzahrah yang selamat ditemui setelah hilang sejak Isnin lalu di Sibu, Sarawak ketika ditemui Bernama di kediaman mereka kelmarin. - Bernama
Bumidin Tahir, 51, menunjukkan gambar anaknya Siti Fatimatuzzahrah yang selamat ditemui setelah hilang sejak Isnin lalu di Sibu, Sarawak ketika ditemui Bernama di kediaman mereka kelmarin. – Bernama

Fatimatuzzahrah kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk diperiksa sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya tersebut. Di Ipoh, bapanya Bumidin Tahir, 51, berkata beliau telah dihubungi anggota polis Sibu mengenai penemuan anaknya itu kira-kira 2:25 petang tadi.

Beliau berkata sebelum itu beliau menerima berita tentang kehilangan anaknya daripada Segi College, tempat anaknya belajar yang memberitahu bahawa anaknya tidak menghadiri peperiksaan pada Isnin lalu.

Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Negeri Perak ini berkata kejadian itu merupakan pertama kali berlaku ke atas anaknya dan beliau percaya anaknya menghilangkan diri kerana mengalami tekanan dalam pelajarannya.

Kehilangannya itu dilapor rakan-rakan serumahnya kepada pihak polis petang semalam. – Bernama