Pelajar India didakwa menghasut dibebaskan

Pelajar India didakwa menghasut dibebaskan

NEW DELHI, India, 4 Mac (AFP) – Seorang ketua pelajar India berjalan keluar daripada penjara semalam, hampir tiga minggu selepas beliau ditahan atas dakwaan hasutan yang mencetuskan bantahan besar dan perdebatan di seluruh negara mengenai kebebasan bersuara.

Kanhaiya Kumar ditahan pada 12 Februari berhubung satu rapat di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di Delhi di mana slogan anti-India dilaung. Beliau telah ditahan di penjara ibu negara Tihar sejak 17 Februari. Kumar menerima sambutan wira ketika pulang ke JNU, di mana beliau menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan yang terdiri daripada beratus pelajar dan anggota fakulti lewat semalam.

“Perjuangan adalah lama. Semakin anda menindas kami, semakin tinggi kami akan bangkit,” kata Kumar tatkala orang ramai bersorak. “Kami bukan meminta kebebasan dari India, tetapi meminta kebebasan di India.”

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Delhi memberikan Kumar ikat jamin sementara selama enam bulan sementara polis menyiasat kes tersebut, mengarah beliau supaya jangan mengambil bahagian dalam aktiviti “anti-negara.”

Kanhaiya Kumar menyampaikan ucapannya di dalam kampus universiti itu setelah dibebaskan dengan ikat jamin dari penjara Delhi di New Delhi, India. - Reuters
Kanhaiya Kumar menyampaikan ucapannya di dalam kampus universiti itu setelah dibebaskan dengan ikat jamin dari penjara Delhi di New Delhi, India. – Reuters

Pemimpin kesatuan pelajar itu menafi beliau adalah antara mereka yang melaung slogan pada rapat, diadakan untuk menandakan hukuman gantung pemisah Kashmir Mohammed Afzal Guru pada 2013 disebabkan serangan ke atas parlimen India.

Dua pelajar lain, Umar Khalid dan Anirban Bhattacharya, dituduh menganjur acara JNU dan telah ditahan atas dakwaan hasutan yang sama seperti Kumar.

Arahan Mahkamah Tinggi Delhi menyenarai beberapa slogan yang dilaung pada acara 9 Februari, termasuk “Perang kami akan diteruskan sehingga India dimusnahkan” dan “Jahanam tentera India.”

“Mereka sedang menikmati kebebasan bersuara ini hanya disebabkan smepadan kami dikawal oleh anggota bersenjata dan separa tentera,” kata Hakim Pratibha Rani.

“Saya menganggapnya sebagai sejenis jangkitan yang sedang dialami oleh setiap pelajar, yang perlu dikawal/disembuh sebelum ia menjadi wabak.”

Satu laporan kerajaan Delhi yang disiarkan semalam berkata sementara tidak ada saksi atau bukti video yang ditemui untuk membabitkan Kumar, peranan pelajar lain pada rapat ‘mesti disiasat selanjutnya.’

ARTIKEL YANG SAMA