Pelajar Institut Pendidikan Teknikal Singapura lawat BMC

Pelajar Institut Pendidikan Teknikal Singapura lawat BMC

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Okt – Seramai 10 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Syarikat Brunei Methanol Sendirian Berhad (BMC) di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), di sini, hari ini.

Lawatan yang disertai oleh seorang pensyarah ITE tersebut dan tiga pensyarah Institut Pendidikan Teknikal Brunei Darussalam (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah itu merupakan sebahagian daripada Program Pertukaran Pelajar yang sedang diikuti para pelajar berkenaan ke negara ini.

Lawatan ke Bangunan Pentadbiran BMC itu juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan meninjau dengan lebih dekat syarikat yang mempunyai hubung kait dengan program kejuruteraan dan teknikal di negara ini.

Rombongan pelajar ITE Singapura bergambar ramai semasa membuat lawatan ke BMC di Sungai Liang.
Rombongan pelajar ITE Singapura bergambar ramai semasa membuat lawatan ke BMC di Sungai Liang.

Semasa lawatan, rombongan berpeluang menyaksikan tayangan video korporat BMC, selain mendengar taklimat mengenai korporat dan profil teknikal syarikat yang telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Rakan Berkepentingan, Adriana Agus Din dan Pelatih Latihan Operasi BMC, Haji Yusni bin Haji Mohammad.

Rombongan juga telah diberi peluang untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab sebelum dibawa meninjau ke Loji BMC dengan menaiki bas khas yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA