Pelajar Islam jadi sasaran serangan di kampus California

Pelajar Islam jadi sasaran serangan di kampus California

LOS ANGELES, 11 Nov – Pihak berkuasa dari dua universiti di California berkata semalam bahawa polis sedang menyiasat serangan terhadap pelajar wanita Islam, dengan satu daripadanya disifatkan sebagai jenayah benci.

Kedua-dua serangan itu tetjadi sehari selepas Donald Trump dipilih sebagai presiden pada pengakhiran kempen yang menyaksikan calon Republikan itu dikritik kerana kelancangannya terhadap penduduk Islam.

Dalam salah satu kejadian, dua penyerang menyerang mangsa di Universiti San Diego dan “membuat komen mengenai Trump dan komuniti Islam,” menurut polis kampus.

Dompet, beg sandang dan kunci kereta wanita berkenaan itu dicuri. Beliau mendapatkan bantuan dan kembali ke lokasi dengan pegawai polis dan mendapati keretanya juga dicuri, kata jurucakap polis, Ronald Broussard. Kes itu disiasat sebagai jenayah kebencian serta kecurian dan rompakan, kata Broussard.

“Komen yang dibuat kepada pelajar menunjukkan beliau menjadi sasaran kerana beragama Islam termasuk memakai hijab,” kata presiden universiti, Elliot Hirshman dan ketua polis sementara, Josh Mays, dalam kenyataan bersama.

Polis Universiti San Jose berkata dalam kenyataan, mereka menyiasat serangan serupa terhadap seorang pelajar wanita di garaj kawasan letak kenderaan kampus. – AFP