Pelajar ITB fahami perancangan kewangan

Pelajar ITB fahami perancangan kewangan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Seramai 150 pelajar Institut Teknologi Brunei (ITB) telah menghadiri taklimat mengenai perancangan kewangan yang dikendalikan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) di kampus ITB, kelmarin.

Taklimat telah disampaikan oleh pegawai Unit Pengurusan Harta (WMU) BIBD dan Perancang Kewangan Islam yang bekelayakan, Dayang Rozielawati binti Haji Jamil, yang antara lain mengetengahkan mengenai kepentingan pemahaman literasi kewangan awal.

Menurut kenyataan BIBD, taklimat ini merupakan usaha berterusannya sebagai sebahagian daripada matlamat ke arah meningkatkan kesedaran mengenai manfaat pengurusan kewangan lebih baik, pada masa yang sama mengetengahkan kepentingan meningkatkan kesedaran celik kewangan di negara ini.

Dalam taklimat berkenaan, sejurus selepas penerangan ringkas mengenai perancangan kewangan, para pelajar diperkenalkan kepada perbezaan corak perbelanjaan pada kitaran hidup yang berbeza daripada ketika bujang hingga selepas persaraan.

Gambar ramai para pelajar ITB yang menghadiri taklimat perancangan kewangan berkenaan bersama pegawai BIBD.
Gambar ramai para pelajar ITB yang menghadiri taklimat perancangan kewangan berkenaan bersama pegawai BIBD.

Selain itu, para pelajar juga dinasihatkan untuk menyimpan 10 peratus daripada gaji mereka apabila sudah bekerja, serta menubuhkan dana lain bagi tujuan kecemasan, yang sepatutnya mengandungi peruntukan bagi sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan.

Tabung kecemasan ini boleh dibuat secara penyimpanan konsisten ke dalam akaun simpanan hingga jumlah tabung kecemasan tersebut mencapai sasaran yang dikehendaki.

Pelajar ITB juga diberikan penerangan mengenai amalan perancangan kewangan dari perspektif Islam termasuk zakat dan pengagihan harta seperti wasiat, pemberian, amanah dan wakaf.

Orang ramai yang berhasrat untuk memahami lebih lanjut aktiviti di bawah Pengurusan Harta BIBD untuk sesi Perancangan Kewangan Islam boleh melakukannya dengan menghantar e-mel ke alamat wmu@bibd.com.bn

ARTIKEL YANG SAMA