Pelajar ITQSHHB wakili negara

Pelajar ITQSHHB wakili negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Negara Brunei Darussalam menghantar seorang peserta untuk menyertai Pertandingan Antarabangsa Al-Malik Abdul Aziz bagi Menghafaz, Membaca dan Mentafsir Al-Quran Ke-37 yang akan berlangsung di Makkah Al-Mukarramah bermula 7 hingga 11 November.

Awang Hassan Nasrullah bin Mohamad Azami, penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) akan mewakili negara, menyertai Kategori 15 Juz Al-Quran.

Beliau berlepas ke Jeddah petang ini dengan ditemani oleh pengajar ITQSHHB, Awang Mohd Ali Sabri bin Haji Yusof yang juga merupakan ketua rombongan dan jurulatih.

Awang Mohd Ali Sabri (kiri) bersama Awang Hassan Nasrullah.
Awang Mohd Ali Sabri (kiri) bersama Awang Hassan Nasrullah.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejurus sebelum berlepas, Awang Hassan Nasrullah berkata, beliau telah menjalani latihan intensif serta mendapat tunjuk ajar serta panduan daripada jurulatih berpengalaman dalam mempersiapkannya bagi menghadapi pertandingan itu nanti.

Beliau berazam untuk melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara serta membawa pulang kejayaan dalam pertandingan itu nanti.