Pelajar Jepun rasai pembelajaran di Brunei

Pelajar Jepun rasai pembelajaran di Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Seramai 10 orang pelajar Tahun 9 dan 10 dari Takahama Junior High School dan Minami Junior High School, Takahama, Aichi, Jepun, berada di negara ini untuk merasai serta melihat proses pembelajaran di Sekolah Menengah Berakas yang berlangsung selama empat hari bermula pada 20 hingga 24 Ogos ini.

Sehubungan itu, satu sesi taklimat pengenalan sekolah berkenaan telah diberikan kepada rombongan pelajar tersebut yang berlangsung di bilik persidangan sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Johnny Lim dan Timbalan Pengetua (Akademik), Dayang Zaliha binti Metussin.

Sejurus mendengar penerangan mengenai latar belakang sekolah berkenaan, rombongan pelajar dibawa melawat sekitar sekolah dan seterusnya menghadiri pembelajaran seperti pelajar yang lain.

Rombongan pelajar Jepun mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh salah seorang guru di Sekolah Menengah Berakas.
Rombongan pelajar Jepun mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh salah seorang guru di Sekolah Menengah Berakas.

Lawatan pelajar itu antara lain bertujuan untuk menimba pengalaman suasana pembelajaran termasuk memberi pendedahan kepada pelajar Jepun dalam pelbagai aspek dan antaranya aspek kebudayaan.

Sepanjang berada di sekolah itu, rombongan pelajar itu bukan sahaja berpeluang merasai suasana pembelajaran, malah mereka juga berpeluang mengetahui dengan lebih dekat budaya dan makanan tradisional di negara ini.

Selain diperkenalkan mengenai budaya tradisi Brunei yang disampaikan melalui persembahan, rombongan pelajar juga akan melakukan persembahan balas bagi menunjukkan budaya mereka.

ARTIKEL YANG SAMA