Pelajar Jepun sertai Program Inap Desa

Pelajar Jepun sertai Program Inap Desa

Oleh HM Yusof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Seramai 11 orang mahasiswa dari Universiti Rikkyo, Jepun tiba di negara ini kelmarin bagi menyertai Program Inap Desa anjuran Persatuan Persahabatan Brunei Jepun (BJFA) selama enam hari.

Rombongan yang diketuai oleh Haruka Tokuda itu akan tinggal bersama lima keluarga angkat dan akan menyesuaikan diri dengan cara kehidupan masyarakat Brunei.

Objektif utama inap desa adalah bagi memperkenalkan para peserta mengenai kebudayaan, warisan, cara hidup dan sistem pendidikan negara ini, di samping itu juga untuk melihat dengan lebih dekat flora dan fauna negara.

Dengan adanya pengalaman yang diperoleh menerusi program ini, ia akan dapat mengukuhkan tali persahabatan antara rakyat Brunei dan Jepun terutama dalam kalangan generasi muda.

Pelajar-pelajar Jepun ketika dijemput di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Pelajar-pelajar Jepun ketika dijemput di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Antara tarikan utama Brunei Darussalam adalah hutan hujan tropika, dengan BJFA berusaha memasukkan atur cara lawatan ke Taman Negara Ulu Temburong di samping beberapa tempat menarik yang lain.

Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1998 dengan memulakan program inap desa bagi penuntut seperti ini.

Jumlah kehadiran penuntut kali ini telah meningkat kepada empat orang berbanding 15 tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA