Pelajar JIS b...

Pelajar JIS beramal bantu kanak-kanak berkeperluan khas

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Bermula dari awal tahun lagi, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) melalui sekolah rendahnya telah mengadakan Minggu Pengumpulan Dana tahunan mereka bagi mengumpul derma-derma bagi kanak-kanak yang berkeperluan khas di Brunei.

Dengan wang yang dikumpul di sekolah berkenaan dan juga perbincangan dengan Unit Keperluan Khas, pengumpulan dana tersebut membolehkan Sekolah Rendah JIS untuk menghadiahkan peralatan kepada beberapa orang kanak-kanak bagi membantu mereka dari segi pembelajaran dan juga mobiliti.

Para pelajar Sekolah Rendah JIS telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sepanjang minggu dan mereka bersama ibu bapa/penjaga mereka telah berjaya menderma sebanyak $8,800.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah seperti ‘Dollar For A Job’, ‘Messy Day’, ‘Coin Drop – Every Little Bit Counts’, ‘Bake Sale’ dan juga ‘Launch A Teddy’.

Berikutan itu, seramai 20 orang penuntut dari 18 buah sekolah tempatan telah menerima peralatan pendidikan istimewa seperti meja-meja dan kerusi-kerusi yang diubahsuai, kerusi roda dan pelbagai lagi sumber pembelajaran yang lain.

Haji Ali Yusri menerima cenderahati daripada pihak JIS.
Haji Ali Yusri menerima cenderahati daripada pihak JIS.

Sumbangan berkenaan telah diadakan di Art Centre, JIS, dan telah dihadiri oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Minggu Pengumpulan Dana berkenaan telah dimulakan dengan ‘Messy Day’ di mana kanak-kanak dialu-alukan untuk datang ke sekolah dengan memakai pakaian mereka terbalik dan dengan rambut mereka yang kusut dengan mengenakan bayaran sebanyak $2 setiap seorang.

Salah satu acara yang popular di Minggu Pengumpulan Dana tersebut ialah acara tahunan ‘Coin Drop’ di mana para pelajar mendermakan duit syiling dan berpeluang menjatuhkan derma mereka ke bawah melalui paip yang ditetapkan daripada tingkat pertama ke tingkat bawah.

Junior Council Tahun 6 juga telah mengendalikan ‘Bake Sale’ pada tahun ini dan telah menjual makanan-makanan kepada pelajar-pelajar Rendah JIS semasa waktu rehat.

Manakala satu lagi aktiviti ‘Launch A Teddy’ adalah merupakan cabaran yang menyeronokkan di mana para pelajar terpaksa mereka bentuk payung terjun yang boleh membawa patung ‘teddy bear’ mereka di udara dengan masa selama yang mungkin.

ARTIKEL YANG SAMA