Pelajar JIS cipta sendiri perisian pameran sejarah

Pelajar JIS cipta sendiri perisian pameran sejarah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Sejarah merupakan peristiwa masa lampau yang disusun berdasarkan peninggalan daripada pelbagai peristiwa dan tanpa sejarah kita tidak akan ada khazanah budaya dan pengajaran untuk generasi masa depan.

Oleh itu, Pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan, 70 Tahun Persahabatan merupakan pameran multimedia hasil kerjasama ahli akademik dan penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD) bersama Suruhanjaya Tinggi Australia sebagai memperingati ulang tahun ke-70 Kempen Borneo Perang Dunia Kedua.

Pameran berkenaan merangkumi himpunan kisah-kisah sejarah zaman Jepun di negara ini yang dikumpulkan oleh para penyelidik dan penuntut menerusi sesi wawancara bersama warga emas yang mengalami sendiri pengalaman kehidupan pada masa itu.

Kisah-kisah sejarah berkenan tidak hanya terhad kepada buku-buku teks tetapi juga disampaikan melalui lisan oleh mereka yang hidup pada zaman itu dan amat berguna kepada para pelajar untuk memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai sejarah tanah air.

Perkara itu dijelaskan oleh kumpulan pelajar mata pelajaran Sejarah dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) yang tidak ketinggalan untuk mencipta sendiri perisian untuk pameran sejarah istimewa itu.

Jessica melancarkan pameran bagi mewakili TYT Todd Mercer.
Jessica melancarkan pameran bagi mewakili TYT Todd Mercer.
Para pelajar menyaksikan pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan.
Para pelajar menyaksikan pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan.

Menurut Setiausaha Kedua dan Pegawai Diplomasi Awam, Suruhanjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Jessica Bowen-Thomas, pameran yang diusahakan selama dua tahun itu diharap dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada pengunjung dan pelajar sekolah serta memberi inspirasi kepada pelajar untuk membuat projek serta menyumbang kepada perisian pameran itu.

Beliau amat tertarik dan gembira dengan inisiatif kumpulan pelajar sejarah JIS yang tampil untuk membuat projek itu dalam memberikan nilai tambah kepada projek berkenaan.

Beliau yang mewakili Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, telah menyempurnakan pelancaran Pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan yang dipamerkan di Pusat Seni, JIS bermula 9 hingga 13 Mei.

Pada majlis itu, para pelajar mata pelajaran Sejarah Tahun 9 dan guru-guru JIS berpeluang untuk mendengar mengenai keunikan projek Pameran Kisah-kisah Dalam Kenangan, sejarah Jepun di Asia Tenggara dan Brunei semasa Perang Dunia Kedua yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Institut Pengajian Asia, UBD, Dr. Frank Dhont, yang juga pensyarah dari UBD yang membuat penyelidikan bagi pameran berkenaan.

Ketua Jabatan Sejarah, JIS, Matt Langridge berkata, sejarah Brunei antara unit pembelajaran sejarah yang popular dalam kalangan pelajar Tahun 9 sekolah itu dan pihak sekolah amat gembira kerana dipilih untuk menjadi hos pameran ini.

Beliau berkata pameran itu menawarkan peluang unik dan amat berkesan untuk membantu pelajar menghargai serta memahami kesan peristiwa penting dunia kepada seseorang secara peribadi atau individu.

Beliau juga amat gembira kerana para pelajar turut mendapat inspirasi untuk membuat projek mereka sendiri mengenai pengalaman Brunei semasa Perang Dunia Kedua dan turut membuat sesi wawancara bersama beberapa ahli keluarga mereka yang hidup pada era itu.

TYT Todd Mercer pula dipetik sebagai berkata bahawa salah satu matlamat utama pameran itu sejak ia dilancarkan pada 2015 dan semasa jelajah pameran di keempat-empat daerah ialah untuk membantu golongan muda mendalami sejarah negara menerusi kaedah baru.

Untuk itu, beliau amat gembira bahawa pameran itu diberikan nafas baru melalui pameran di sekolah sehingga memberi inspirasi kepada para pelajar untuk membuat perisian sendiri.

“Saya berharap ini merupakan satu permulaan bagi mereka supaya terus terlibat secara aktif membantu orang ramai menyelami dan memahami sejarah,” kata TYT Todd Mercer.

ARTIKEL YANG SAMA